PUTRAJAYA, 5 Nov (Bernama) -- Golongan belia perlu menghayati semangat kreativiti, inovasi dan ilmu pengetahuan bagi membina empayar minda serta memacu kemajuan Malaysia dalam era baharu yang dipacu idea dan imaginasi.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata perjalanan bersama Malaysia ke arah kemajuan dan ketahanan, menonjolkan kekuatan visi serta daya kreatif dalam usaha membina sebuah negara yang lebih kukuh.
“Hari ini, apabila kita sekali lagi berdiri bersama demi khidmat kepada tanah air tercinta, saya teringat bagaimana idea, apabila dipupuk dengan imaginasi, disiplin dan tujuan, mampu benar-benar mengubah kehidupan dan takdir,” katanya pada hari kedua Festival of Ideas (FOI) 2025 di sini, hari ini.
Zambry berkata dunia kini menyaksikan satu era baharu, yang kekuatan sesebuah negara tidak lagi diukur melalui penaklukan atau kekayaan, tetapi melalui ilmu, kreativiti dan inovasi.
“Dunia telah menyaksikan kebangkitan dan kejatuhan banyak empayar yang dibina atas penaklukan, kekayaan dan kuasa. Winston Churchill pernah berkata, ‘empayar masa depan ialah empayar minda’,” katanya.
Zambry berkata sumber terpenting dunia hari ini bukan lagi terletak di dalam tanah, tetapi dalam minda manusia dan masyarakat, yang melabur dalam idea akan menjadi peneraju masa depan.
“Kita kini hidup dalam era empayar sedemikian, dengan ilmu pengetahuan, kreativiti dan inovasi menentukan kekuatan sesebuah negara,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Zambry berkata perhimpunan seperti FOI yang diadakan untuk tahun kedua ini, bukan sekadar acara bersifat seremonial, sebaliknya merupakan platform transformasi, ruang imaginasi diterjemahkan menjadi kenyataan dan benih kemajuan masa depan disemai.
Beliau berkata sejarah telah membuktikan bahawa setiap lonjakan besar dalam tamadun manusia bermula daripada satu idea, yang berupaya mengubah kehidupan dan menentukan hala tuju kemanusiaan.
Mengambil contoh penemuan yang mengubah dunia, beliau berkata kemajuan sering bermula daripada imaginasi dan ketekunan, seperti penemuan sinaran radioaktif oleh Marie Curie, telefon pertama oleh Alexander Graham Bell dan mentol elektrik ciptaan Thomas Edison yang menerangi dunia.
Zambry berkata Malaysia juga telah melahirkan ramai inovator hebat, yang meninggalkan impak besar di peringkat global.
“Di Malaysia juga, kita meraikan para inovator dan pencipta tempatan. Dr Wu Lien-Teh, pencipta pelitup muka perubatan moden pertama di dunia, ramai yang tidak menyedari bahawa beliau sebenarnya rakyat Malaysia,” katanya.
Antara pencipta tempatan lain ialah Muhd Razlan Dhamir Hamdan pengasas Aphelia Space yang membangunkan stesen pengecas tanpa wayar untuk satelit; Pua Khein-Seng pencipta pemacu kilat USB cip tunggal pertama di dunia; Iris Corporation syarikat teknologi yang mencipta pasport elektronik (e-pasport) pertama di dunia; dan Ganesh Kumar Bangah, yang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif termuda syarikat tersenarai awam pada usia 23 tahun.
Zambry berkata FOI kini berkembang sebagai platform serantau bagi kerjasama dan inovasi, dengan penyertaan pemimpin pendidikan ASEAN termasuk Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia Brian Yuliarto, serta Pengerusi Suruhanjaya Pendidikan Tinggi Filipina Dr Shirley Castañeda Agrupis.
“ASEAN, dengan populasi muda, warisan budaya yang kaya dan potensi ekonomi yang besar, berpotensi untuk menjadi antara rantau paling dinamik di dunia. Untuk merealisasikan potensi itu, kita memerlukan idea yang dapat menyatukan serta menghubungkan minda, institusi dan negara,” katanya.
FOI Putrajaya 2025, yang berlangsung dari 4 hingga 8 Nov, dijangka menarik hampir 500,000 pengunjung fizikal dan sekitar dua juta peserta, termasuk 1.5 juta peserta maya dari seluruh dunia.
-- BERNAMA
