AM

FOI PUTRAJAYA REKOD 68 PERJANJIAN DIMETERAI DENGAN ROI LEBIH RM158 JUTA

05/11/2025 02:33 PM

PUTRAJAYA, 5 Nov (Bernama) -- Sebanyak 68 perjanjian kerjasama strategik dengan pulangan pelaburan (ROI) lebih RM158 juta berjaya dimeterai sepanjang dua hari penganjuran Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 bermula semalam.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pemeteraian memorandum persefahaman (MoU), memorandum perjanjian (MoA) dan surat niat (LoI) pada FOI itu membuktikan komitmen berterusan kementerian dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Kebanyakan kerjasama ini memberi tumpuan kepada bidang penyelidikan berimpak tinggi, khususnya dalam sektor kesihatan, pertanian dan pelbagai bidang lain yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata terdapat inisiatif berbentuk berkongsi perkhidmatan dengan pihak industri seperti pelaksanaan latihan industri yang memberi peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman sebenar di syarikat-syarikat berkaitan.

“Usaha sebegini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara universiti dan industri, malah memastikan graduan kita lebih bersedia menghadapi keperluan pasaran kerja masa kini,” katanya.

Zambry berkata ROI pada hari pertama mencapai RM137,703,574, manakala hari kedua mencatat RM21,241,358.

Beliau berkata hari pertama melibatkan penyertaan 31 universiti awam (UA) dan empat Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan 31 industri, manakala hari kedua disertai oleh 22 UA dan 11 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dengan 34 industri.

Antara penyertaan paling menonjol ialah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)  yang mencatat penyertaan tertinggi dalam kalangan UA dengan sembilan MoA bernilai RM1.91 juta, manakala Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) muncul IPTS paling aktif dengan lima MoA dan satu MoU bernilai RM2.995 juta.

KPT memaklumkan penyumbang ROI tertinggi pula ialah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjumlah RM117,505 juta, manakala IPTS dengan ROI tertinggi ialah Multimedia University (MMU) dengan RM5 juta.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan