CYBERJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan seorang individu bagi membantu siasatan berhubung imej suntingan menyerupai laporan sebuah portal berita tempatan yang dimuat naik di Facebook.
Menurut MCMC dalam kenyataan hari ini, keterangan individu itu dirakam hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, Melaka dan satu telefon bimbit dan satu kad SIM telah disita bagi analisis forensik digital.
“Imej suntingan tersebut yang disertakan dengan logo portal media Utusan Malaysia didapati palsu dan berpotensi mengelirukan orang ramai.
“Siasatan awal juga mengesahkan bahawa Utusan Malaysia telah menafikan penerbitan laporan berkenaan dan menjelaskan ia merupakan penyalahgunaan nama serta logo akhbar itu,” menurut kenyataan tersebut.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
MCMC menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi di media sosial, khususnya kandungan yang menggunakan identiti atau logo organisasi media tanpa kebenaran.
“Penyebaran kandungan palsu boleh menjejaskan kredibiliti sumber berita sahih dan boleh mengundang tindakan undang-undang,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
