AM

BEKALAN ELEKTRIK TERPUTUS PUNCA GANGGUAN RANGKAIAN MUDAH ALIH DI SIBU - MCMC

06/11/2025 05:50 PM

PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Gangguan sementara terhadap kualiti rangkaian mudah alih di sekitar bandar Sibu, Sarawak pada 1 Nov lepas adalah berpunca daripada insiden bekalan elektrik terputus dalam tempoh yang panjang di satu daripada menara telekomunikasi utama di kawasan Sri Aman.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan gangguan itu telah menjejaskan sambungan antara menara di kawasan bahagian tengah hingga utara Sarawak termasuk di Sibu namun perkhidmatan rangkaian mudah alih dipulihkan secara berperingkat mulai 10 pagi hingga 5 petang pada hari yang sama.

“Susulan aduan orang awam serta isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Sibu dalam sesi Parlimen baru-baru ini, MCMC melaksanakan ujian liputan rangkaian di beberapa lokasi tumpuan termasuk Jalan Pulau, Jalan Merdeka dan kawasan Sungai Bidut,” menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan bahawa hasil penilaian mendapati prestasi rangkaian mudah alih di kawasan yang diuji berada dalam keadaan baik dan stabil, dengan kadar muat turun serta muat naik pada tahap memuaskan bagi semua penyedia perkhidmatan utama.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa sepanjang tahun ini, MCMC telah menjalankan 61 audit rangkaian di daerah Sibu dan mengeluarkan 16 notis penambahbaikan kepada penyedia perkhidmatan yang tidak memenuhi piawaian prestasi.

“Ia sejajar komitmen berterusan MCMC untuk memastikan kualiti serta kebolehpercayaan perkhidmatan komunikasi kekal pada tahap optimum,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan