AM

BALAI BOMBA GOHTONG JAYA BAKAL KURANGKAN MASA RESPONS KECEMASAN

07/11/2025 02:35 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) serta kuarters di Gohtong Jaya, Genting, Pahang dijangka mampu mengurangkan masa respons kecemasan kawasan berdekatan dari 25 minit kepada hanya 10 minit, apabila siap sepenuhnya menjelang November 2027.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Dr M Noor Azman Taib berkata masa respons semasa dari BBP Genting Highlands ke kawasan Gohtong Jaya mengambil kira-kira 25 minit disebabkan jarak dan keadaan geografi berbukit.

Beliau berkata projek berkenaan amat diperlukan berikutan peningkatan ketara kegiatan pembangunan dan pelancongan di kawasan tanah tinggi berkenaan turut mencatat kadar kebombaan yang tinggi setiap tahun.

“Berdasarkan kajian risiko kebakaran dan penyelamatan, sekurang-kurangnya 20 insiden kebombaan direkodkan setiap tahun di kawasan ini sekali gus menunjukkan keperluan mendesak bagi pembinaan balai baharu.

“Apabila projek ini direalisasikan dengan kerjasama pihak Genting Malaysia Berhad (GenM), kita yakin ia akan memperkukuh keupayaan penyelamatan di kawasan Genting dan sekitarnya,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian projek berkenaan hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian itu turut disaksikan oleh Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Datuk Muhamad Azmi Mohd Zain dan wakil Genting Centre of Excellence Sdn Bhd Lee Hoe Chee.

M Noor Azman berkata pembinaan projek bernilai RM68.378 juta itu dilaksanakan melalui model pembiayaan pintar yang melibatkan pertukaran tanah kerajaan dan pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh GenM.

“Daripada jumlah keseluruhan itu, RM39 juta dibiayai oleh kerajaan manakala RM29.378 juta lagi disumbangkan oleh GENM di bawah inisiatif CSR mereka. Ini pertama kali pendekatan menyeluruh sebegini dilaksanakan dalam memastikan aspek keselamatan di kawasan peranginan tanah tinggi dapat ditingkatkan,” katanya.

Projek itu kini berada pada peringkat kerja tapak selepas kerja-kerja pembersihan kawasan dimulakan susulan majlis pecah tanah beberapa bulan lepas dan pembinaan fizikal dijangka bermula selepas kelulusan pelan bangunan diperoleh.

“Projek ini dijangka siap dalam tempoh 24 bulan dan akan memberi manfaat lebih luas meliputi kawasan Janda Baik, Bukit Tinggi serta sempadan Batang Kali dan Selayang, Selangor,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata balai baharu itu akan dikategorikan sebagai Balai Bomba Gred C dan menempatkan 27 anggota sepenuh masa, berbanding struktur semasa di kawasan Genting yang masih bergantung kepada balai sedia ada di luar zon peranginan.

“Cabaran geografi dan ketiadaan kuarters kekal sebelum ini menyukarkan penempatan anggota sepenuh masa. Dengan kemudahan baharu ini, kita bukan sahaja dapat meningkatkan kesiapsiagaan operasi, malah memastikan kebajikan anggota dan keluarga mereka lebih terjamin,” katanya.

Beliau berkata pembinaan kuarters kekal turut menumpukan kepada keperluan sosial dan keluarga anggota termasuk kemudahan asas seperti pasar, sekolah serta akses kepada kemudahan awam di kawasan sekitar Genting.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan