JENAYAH & MAHKAMAH

KEBAKARAN HUTAN DI TAMAN SERI TIMAH, BALAKONG DIPADAMKAN SEPENUHNYA - JBPM

07/11/2025 02:45 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Kebakaran hutan di kawasan berbukit Taman Seri Timah, Balakong di sini dipadamkan sepenuhnya tengah malam tadi selepas lebih lima jam operasi pemadaman oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata api berjaya dikawal kira-kira 9 malam sebelum dipadamkan sepenuhnya pada 12.15 tengah malam yang melibatkan kira-kira 2.4 hektar berbanding anggaran awal 1.2 hektar.

“Bomba  menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada 7.02 malam semalam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 12.15 tengah malam. Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi pemadaman melibatkan 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn, Seri Kembangan, Pandan Indah, Sungai Besi dan Cheras, diketuai Pegawai Bomba Kanan I Roduan Sudin selaku Komander Operasi.

Dua pegawai kanan turut berada di lokasi, iaitu Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Akmal Mohd Hairi dan PPgB Mohd Hafis Hamdany bagi menyelaras tindakan di lapangan.

“Sebanyak enam jentera digunakan dalam operasi, iaitu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Bandar Tun Hussein Onn, satu FRT dan satu unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dari BBP Seri Kembangan.

“Serta masing-masing satu water tanker dari BBP Pandan Indah dan BBP Cheras serta satu FRT dari BBP Sungai Besi,” katanya.

Ahmad Mukhlis berkata operasi turut mendapat bantuan dua pasukan bomba sukarela (PBS), iaitu PBS Balakong dengan enam anggota dan satu kenderaan pacuan empat roda, serta PBS Serdang dengan empat anggota dan satu kenderaan First Response Vehicle (FRV).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan