AM

PERBUATAN PECAH BELAH PERPADUAN DAN KEHARMONIAN KAUM WAJIB DITENTANG – SULTAN NAZRIN

09/11/2025 10:54 AM

KUALA KANGSAR, 9 Nov (Bernama) -- Segala perbuatan yang berpotensi memecah belahkan perpaduan serta hubungan harmoni antara kaum di negara ini wajib ditentang secara tegas, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah, usaha menyatukan penduduk pasti berdepan halangan besar apabila masih ada dalam kalangan rakyat yang memilih untuk mensensasikan isu kaum, agama, negeri dan wilayah.

“… pada waktu kita sepatutnya lebih memberi fokus untuk mematangkan kerjasama dan mengukuhkan persefahaman yang dirintis serta dibina oleh pemimpin terdahulu.

“Negara ini jangan dijadikan rumah sengketa, tempat berpesta insan yang mabuk kuasa. Merdeka itu akan hancur maknanya apabila lidah sebahagian rakyat bersifat lebih bisa daripada anak panah beracun, meracuni fikiran rakyat,” titah baginda ketika berangkat ke Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-69 di Istana Iskandariah di sini , hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. 

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak dan Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah

Sultan Nazrin bertitah bahawa kemerdekaan bukan sekadar perayaan mengibarkan Jalur Gemilang, sebaliknya lambang maruah bangsa dan titik mula sebuah negara berdiri dengan kaki sendiri.

“Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi turut memiliki kebebasan minda dan kematangan politik, serta kejayaan menumbuhkan ekonomi dan membangunkan negara, dan lebih utama didukung oleh rakyat yang menghayati semangat satu warga.

“Malaysia yang bermula daripada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu ialah negara yang termaktub dalam klausa Perlembagaan, mengiktiraf komposisi penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum yang menganut pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa,” titah baginda.

Baginda menegaskan bahawa amat merugikan jika kelainan dan perbezaan dilihat dari sudut negatif yang sarat dengan prasangka buruk sehingga merosakkan hubungan harmoni sesama manusia serta menjejaskan paksi keseimbangan (the axis of equilibrium) dalam hubungan antara kaum dan agama.

Sultan Nazrin turut bertitah bahawa semangat permuafakatan yang diasaskan pemimpin terdahulu ketika membentuk negara merdeka perlu terus dihormati, dan sebarang suara atau tindakan yang bercanggah dengan semangat itu wajib ditentang.

Baginda bertitah, tindakan sesetengah pihak yang terlalu dipengaruhi emosi dibimbangi akan membawa kerugian besar kepada negara.

“Masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk membela nasib rakyat terutama dalam kalangan mereka yang hidup daif dalam kemiskinan.

“Rakyat tidak harus dijadikan mangsa persengketaan politik yang bagaikan tidak ada penghujungnya, sedangkan negara lebih memerlukan sumber tenaga dan kekayaan ditumpukan kepada kerja yang lebih produktif,” titah Sultan Nazrin.

Baginda turut menzahirkan penghargaan atas kesepakatan Raja Muda, Raja Dihilir, Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, Orang Besar serta ahli Dewan Negara Perak yang senantiasa membantu baginda melaksanakan amanah sebagai Amirulmukminin.

Selain itu, penghargaan turut dizahirkan kepada Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, hakim, ahli Dewan Negeri, ulama, pasukan keselamatan, badan beruniform, penghulu, imam dan pemimpin agama serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung yang telah menyempurnakan amanah sehingga negeri Perak dapat dibangunkan dalam keadaan aman dan sejahtera.

“Demikian juga penghargaan Beta kepada pihak swasta, badan sukarela, badan kebajikan, pertubuhan belia, badan sukan serta warga keseluruhannya yang telah melengkapkan usaha pembangunan yang dirintis Kerajaan Beta,” titah baginda.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan