AM

LAWATAN NEGARA AGONG KE BAHRAIN SIGNIFIKAN, KUKUHKAN HUBUNGAN DUA NEGARA

09/11/2025 01:49 PM

Daripada Erda Khursyiah Basir

MANAMA (BAHRAIN), 9 Nov (Bernama) -- Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Bahrain disifatkan sebagai lawatan yang signifikan dalam usaha mengukuhkan hubungan rapat antara kedua-dua negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku menteri pengiring bagi lawatan itu, berkata dalam keadaan geopolitik yang mencabar, penting bagi Malaysia untuk mempunyai negara sahabat yang mempunyai persefahaman dan boleh bekerjasama secara strategik.

“Lawatan Negara ini bertujuan merapatkan hubungan secara terus dan peribadi oleh Seri Paduka Baginda. Dalam lawatan ini, kita dapat melihat Sultan Ibrahim mampu melangkaui satu hubungan yang boleh membawa kepada kedudukan yang benar-benar rapat dan saling percaya antara negara.

“Ini sangat penting untuk Malaysia kerana kita mengamalkan dasar berkecuali dan adakalanya menzahirkan kenyataan dan pendirian yang mungkin tidak dapat diterima oleh banyak pihak. Negara sahabat seperti ini dapat memahami serta memberikan sokongan dan kekuatan,” katanya kepada Bernama semasa lawatan itu.

Mohamed Khaled menambah, pendirian Malaysia yang tidak mahu terikat dengan mana-mana blok menuntut negara membuka ruang lebih besar bagi memperluaskan pasaran.

“Bahrain merupakan sebuah negara dengan ekonomi mantap sebagai pengeluar minyak, gas, dan aluminium, serta kini menekankan sektor perkhidmatan, profesional, dan kewangan. Negara ini boleh menjadi rakan strategik Malaysia dalam usaha membuka pasaran di wilayah lain, termasuk Afrika.

“Bahrain boleh memainkan peranan penting dalam membantu. Hubungan antara kedua negara telah dipelopori oleh Tuanku, dan kini terserah kepada kepimpinan bagaimana ia diuruskan supaya benar-benar mendatangkan manfaat.

"Inilah signifikan lawatan ini dan hubungan yang terjalin. Perkara ini memerlukan perancangan strategik serta pemanfaatan peluang daripada hubungan rapat yang telah wujud,” katanya.

Dalam aspek keselamatan, Mohamed Khaled berkata Malaysia dan Bahrain, masing-masing anggota ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), melihat keamanan dan kestabilan di kedua-dua blok amat penting bagi memperkukuh perdagangan dua hala.

“Bahrain dan Malaysia merupakan negara dagang, dan kita tidak mahu kawasan ini menghadapi krisis yang boleh menjejaskan perdagangan dunia. Aspek pertahanan dan keselamatan GCC-ASEAN menjadi perhatian utama,” katanya.

“Bahrain sebagai satu ruang kerjasama yang perlu dimanfaatkan potensinya untuk meningkatkan perdagangan negara.

“Keselamatan kedua-dua kawasan ini sangat penting, justeru perlu wujud hubungan dari sudut pertahanan selain perkongsian maklumat, kepintaran dan pengalaman dalam menjaga keselamatan,” tambah Mohamed Khaled.

Bahrain kekal antara rakan dagang utama Malaysia di rantau Asia Barat dan merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-11 terbesar dan sumber import kelapan terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.

Seri Paduka Baginda berangkat pulang ke tanah air pada Ahad, selepas mengakhiri lawatan negara tiga hari ke Bahrain.

Pesawat khas yang membawa Sultan Ibrahim berlepas dari Lounge Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain, Muharraq di sini pada 8 malam (1 pagi waktu Malaysia) dan selamat tiba di Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), pada 8.30 pagi tadi.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan