PUTRAJAYA, 10 Nov (Bernama) -- Bilangan penganggur pada Sept 2025 semakin menurun kepada 518,600 orang, merekodkan kadar pengangguran 3 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Pada Ogos lepas, sebanyak 520,000 orang yang menganggur.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi ekonomi yang memberangsangkan telah membantu mengukuhkan tenaga buruh Malaysia pada Sept 2025, dengan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, pengurangan dalam pengangguran, dan peluasan pembangunan serantau yang inklusif.
"Sejajar dengan itu, tenaga buruh terus berkembang dengan peningkatan 0.2 peratus kepada 17.54 juta orang berbanding 17.51 juta orang pada Ogos. Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) kekal pada 70.9 peratus, tidak berubah daripada bulan sebelumnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bilangan penduduk bekerja pada September meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 17.03 juta orang berbanding 16.99 juta orang pada Ogos.
Mohd Uzir berkata pada Sept 2025, kategori pekerja merangkumi 74.9 peratus daripada jumlah penduduk bekerja dan kumpulan ini meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 12.74 juta orang berbanding 12.73 juta orang pada bulan sebelumnya.
Selain itu katanya, bilangan penduduk bekerja sendiri naik 0.4 peratus kepada 3.24 juta orang berbanding 3.22 juta orang pada Ogos.
Mengulas lanjut tentang landskap pengangguran pada Sept 2025, beliau berkata mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, merangkumi 79.8 peratus daripada jumlah penganggur.
"Kategori ini merekodkan penurunan 0.3 peratus dengan bilangan menurun kepada 413,600 orang berbanding 414,900 orang pada bulan sebelumnya. Dalam kumpulan ini, mereka yang mengganggur kurang tiga bulan meliputi 64.6 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah sebanyak 4.9 peratus," katanya.
Mengulas prestasi keseluruhan pada suku tahun (ST) ketiga 2025, Mohd Uzir berkata tenaga buruh meningkat sebanyak 0.7 peratus, merekodkan sebanyak 17.49 juta orang berbanding 17.37 juta orang pada suku tahun kedua 2025.
KPTB katanya, naik 0.1 mata peratus kepada 70.9 peratus berbanding 70.8 peratus pada suku tahun sebelumnya.
"Seiring dengan trend peningkatan ini, bilangan penduduk bekerja turut bertambah 0.7 peratus kepada 16.97 juta orang (ST2 2025: 16.85 juta orang), manakala bilangan penganggur menurun sebanyak 0.2 peratus kepada 519,900 orang (ST2 2025: 520,900 orang)," katanya.
-- BERNAMA
