EKONOMI

PERDAGANGAN BORONG, RUNCIT MENINGKAT 6.6 PERATUS PADA SEPTEMBER 2025 - DOSM

11/11/2025 05:24 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Perdagangan borong dan runcit Malaysia pada September 2025  merekodkan jumlah jualan sebanyak RM158 bilion pada September, dengan pertumbuhan 6.6 peratus tahun ke tahun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh subsektor borong dan runcit. 

“Subsektor perdagangan borong mencatatkan RM71.1 bilion, meningkat 6.9 peratus tahun ke tahun manakala subsektor perdagangan runcit juga mencatatkan pertumbuhan yang kukuh, dengan jualan RM68.9 bilion, meningkat 7.0 peratus.

“Subsektor kenderaan bermotor merekodkan jualan RM18.0 bilion, pertumbuhan sebanyak 4.3 peratus tahun ke tahun,” katanya.

Jualan runcit dalam talian terus mencatat pertumbuhan positif pada September, dengan indeks jualan meningkat sebanyak 9.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya peningkatan ini sebahagiannya didorong oleh acara jualan dalam talian 9.9, yang merangsang permintaan pengguna dan menyumbang kepada jumlah transaksi yang lebih tinggi di platform e-dagang utama.

Menurutnya aktiviti pembayaran digital pada September turut menunjukkan perkembangan berterusan, dengan transaksi e-dompet meningkat ketara sebanyak 62.7 peratus tahun ke tahun kepada RM23.9 bilion.

“Platform pembayaran runcit masa nyata juga mencatatkan prestasi kukuh dengan jumlah transaksi mencapai RM307.8 bilion.

“Selain itu, transaksi FPX meningkat 27.2 peratus tahun ke tahun kepada RM40.3 bilion manakala transaksi kad kredit dan kad debit masing-masing berjumlah RM19.0 bilion dan RM12.9 bilion,” katanya.

Dari segi indeks volum, perdagangan borong dan runcit merekodkan peningkatan 5.4 peratus tahun ke tahun, dengan pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan borong yang meningkat 6.6 peratus, diikuti oleh perdagangan runcit dan kenderaan bermotor masing-masing dengan 4.8 peratus dan 3.3 peratus.

Sebaliknya, bagi pelarasan musim, indeks volum menyusut -0.6 peratus bulan ke bulan, katanya.

Mohd Uzir berkata sektor perdagangan borong dan runcit dijangka terus mengekalkan momentum peningkatannya, disokong oleh perbelanjaan perayaan dan penebusan bantuan isi rumah yang masih berterusan.

“Penebusan berterusan bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dijangka dapat mengukuhkan kuasa beli pengguna, khususnya bagi barangan keperluan asas dan harian.

“Selain itu, sambutan perayaan Deepavali dijangka merancakkan lagi aktiviti runcit, terutamanya di kedai bukan pengkhususan dan kedai pengkhususan serta dalam segmen makanan, minuman dan barangan isi rumah," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan