AM

MAK YONG: JKKN KELANTAN PERKUKUH PEMBELAJARAN WARISAN SENI BERSAMA IPG

10/11/2025 01:53 PM

KOTA BHARU, 10 Nov (Bernama) -- Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan memperkukuh usaha melestarikan seni warisan Mak Yong menerusi pementasan karya Dewa Pechil dalam konteks pembelajaran bersama Institut Pendidikan Guru (IPG).

Pengarah JKKN Kelantan Rohaniza Abdullah, berkata pementasan itu bukan sekadar hiburan tradisional, sebaliknya satu pendekatan pendidikan untuk memperkenalkan nilai moral, budaya dan komunikasi yang terkandung dalam seni Mak Yong kepada bakal pendidik.

“Mak Yong yang dipersembahkan kali ini berbeza daripada persembahan komersial kerana ia dibawa dalam bentuk pembelajaran agar penuntut IPG dapat mendalami dan menilai sendiri nilai pendidikan di sebalik kesenian ini.

“Program ini juga merupakan usaha JKKN memartabatkan Mak Yong, yang diiktiraf UNESCO sebagai Masterpiece of the Oral and Intangible Heritage of Humanity pada 25 Nov 2005 serta dimasukkan ke dalam Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity pada 2008,” katanya kepada Bernama pada Pementasan Kesenian Tradisional Mak Yong: Dewa Pechil (Dalam Konteks Pembelajaran) di IPG Kampus Kota Bharu, malam tadi.

Rohaniza berkata kolaborasi dengan institusi pendidikan seperti IPG amat penting bagi memastikan seni tradisional itu terus hidup melalui peranan guru yang akan menyampaikan nilai warisan kepada generasi baharu.

“Matlamat kami ialah memperkenalkan semula Mak Yong kepada generasi muda, bukan sahaja di Kelantan, tetapi juga di negeri lain melalui program kerjasama pendidikan kerana mereka inilah pewaris dan penyampai warisan ini.

“Pementasan di IPG merupakan kesinambungan kepada program yang dijalankan bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris sebelum ini, dan JKKN merancang untuk memperluaskannya ke IPG lain di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata persembahan kali ini melibatkan kumpulan Kijang Emas, kumpulan perantisan JKKN yang ditubuhkan sejak 2010 bagi melahirkan pelapis seni tradisional serta penyertaan 40 penuntut IPG dari Kampus Kota Bharu, Ampuan Afzan, Sultan Mizan dan Tengku Razali.

“Penuntut IPG bukan sekadar menonton, malah terlibat dalam bengkel selama seminggu bagi mempelajari muzik, tarian, nyanyian, lakonan dan ucapan tetap sebelum pementasan dijalankan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran dan penilaian,” katanya.

Mengulas sensitiviti budaya dan agama, Rohaniza menjelaskan bahawa persembahan Mak Yong di Kelantan dilaksanakan mengikut garis panduan patuh syariah seperti ditetapkan kerajaan negeri. Namun, bagi tujuan pendidikan, pelajar turut diperkenalkan kepada versi tradisional yang autentik.

“Dalam konteks pembelajaran, pementasan dilakukan secara tertutup supaya mereka memahami versi asal Mak Yong tanpa menjejaskan sensitiviti agama dan budaya tempatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan