KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) mengumumkan pemenang kempen Save2Win pada satu majlis sempena Karnival Jom Heboh Pulau Pinang, semalam.
Pelanggan dari cawangan Seri Manjung, Sajihan M.C. Mohamed, muncul pemenang utama cabutan separuh tahun dan membawa pulang sebuah Proton e-MAS 7 Prime, selain menerima beberapa hadiah tambahan termasuk baucar perjalanan dan wang tunai.
Dalam kenyataan hari ini, Bank Muamalat memaklumkan Proton e-MAS 7 Prime itu merupakan antara hadiah utama daripada keseluruhan hadiah bernilai lebih RM3.5 juta bagi kempen Save2Win tahun ini.
“Antara hadiah lain yang disampaikan dalam sesi penyampaian hadiah kali ini, termasuk telefon pintar Iphone 16, baucar perjalanan bernilai RM10,000 dan wang tunai RM5,000,” katanya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Datuk Khairul Kamarudin berkata kempen Save2Win adalah antara inisiatif bank itu untuk menggalakkan budaya menabung sambil memberi ganjaran kepada pelanggan setia.
“Kami amat menghargai sokongan pelanggan. Penyertaan di Karnival Jom Heboh memberikan peluang kepada kami untuk mendekati masyarakat serta memperkenalkan produk Bank Muamalat dengan lebih meluas,” katanya.
Khairul berkata pelanggan masih mempunyai tempoh dua bulan untuk menambah simpanan dan berpeluang memenangi hadiah utama berupa sebuah kondominium mewah serta pelbagai hadiah lain yang akan diumumkan pada cabutan akhir, Januari tahun hadapan.
Dalam usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan sosial, beliau berkata Bank Muamalat turut menampilkan usahawan di bawah program iTEKAD Bank Muamalat, iaitu Poko Cafe, untuk menyertai karnival berkenaan.
“Program iTEKAD Bank Muamalat bukan sahaja menyediakan pembiayaan mikro, tetapi turut menawarkan peluang pemasaran dan pembangunan kapasiti kepada usahawan.
“Kehadiran usahawan iTEKAD, Poko Cafe, membuktikan potensi tinggi keusahawanan sosial tempatan dan kami berharap penyertaan ini dapat membantu memperkenalkan jenama mereka kepada pengunjung reruai Bank Muamalat,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai Save2Win dan produk Bank Muamalat lain boleh diperoleh melalui laman web www.muamalat.com.my atau dengan mengunjungi mana-mana cawangan berhampiran.
-- BERNAMA
