AM

TERENGGANU TERIMA PERUNTUKAN RM3.1 JUTA DARIPADA MOF BAIK PULIH JETI DI PULAU PERHENTIAN

11/11/2025 04:04 PM

KUALA TERENGGANU, 11 Nov (Bernama) -- Terengganu menerima peruntukan sebanyak RM3.1 juta daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan (MOF) bagi melaksanakan projek menaik taraf dan membaik pulih jeti kerajaan berhampiran Resort Coral Bay, Jeti Pasir Panjang serta Jeti Teluk Keke.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Datuk Razali Idris berkata peruntukan kepada Majlis Daerah Besut itu bertujuan menyediakan kemudahan yang lebih selesa serta selamat kepada pelancong.

“Kerajaan negeri komited untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf prasarana pelancongan di Pulau Perhentian termasuk aspek keselamatan jeti, kemudahan awam dan pengurusan sisa pepejal bagi memastikan Kuala Besut kekal sebagai pintu masuk pelancongan antarabangsa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Azbi Salleh (PAS-Kuala Besut) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Razali juga berkata Majlis Daerah Besut telah melantik kontraktor pembersihan awam untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan kutipan sisa pepejal di Pulau Perhentian.

Beliau berkata selain penyediaan kemudahan asas, pelbagai program dan inisiatif turut dilaksana oleh Pejabat Perikanan Negeri Terengganu bagi memperkukuh pengurusan serta pemuliharaan alam sekitar di Pulau Perhentian.

Menjawab soalan tambahan Azbi mengenai jumlah pelancong ke Pulau Perhentian, Razali berkata kira-kira 300,000 pengunjung direkodkan pada pertengahan 2025.

“Ini menunjukkan Pulau Perhentian merupakan destinasi wajib singgah bagi peminat aktiviti menyelam skuba dan snorkel.

"Kerajaan negeri berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kemudahan infrastruktur di Pulau Perhentian berada dalam keadaan baik,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan