AM

TAIKUN BALAK DAN MEDIA, TIONG HIEW KING MENINGGAL DUNIA

11/11/2025 09:30 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Taikun balak dan media Sarawak, Tan Sri Tiong Hiew King, meninggal dunia hari ini pada usia 90 tahun.

Media Chinese International Ltd dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata Tiong, pemegang saham utama dan pengerusi kehormat syarikat itu, meninggal dunia dengan tenang.

Tiong juga merupakan pengerusi eksekutif Kumpulan Rimbunan Hijau.

Menurut laman web Kumpulan Rimbunan Hijau, Tiong dilahirkan di Sarawak pada tahun 1935 dan menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Chung Cheng di Sibu, seterusnya di Sekolah Menengah Methodist dan Sekolah Menengah Sacred Heart.

Beliau memulakan kerjayanya di syarikat pembalakan pakciknya, meletakkan asas yang kukuh untuk masa depannya dalam industri kayu.

Pada 1975, beliau mengasaskan Kumpulan Rimbunan Hijau bersama adik-beradiknya.

Selama bertahun-tahun, kumpulan itu membina reputasi yang kukuh dan berkembang menjadi sebuah syarikat multinasional.

Selain eksport dan pemprosesan kayu balak, kumpulan itu mempelbagaikan perniagaannya kepada media dan penerbitan, pertanian termasuk ladang dan kilang sawit serta minyak dan gas, perlombongan, akuakultur, penghutanan semula, kewangan, teknologi maklumat, perdagangan dan pembangunan hartanah.

Pada 2010, Tiong menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Anugerah Kepimpinan Perniagaan Malaysia daripada Dewan Perniagaan Melayu Kuala Lumpur sebagai pengiktirafan atas sumbangan keusahawanannya kepada negara.

Di Malaysia terdapat empat syarikat tersenarai awam di bawah kumpulan itu, iaitu Subur Tiasa Holdings Bhd, Jaya Tiasa Holdings Bhd, Rimbunan Sawit Bhd dan Media Chinese International Ltd.

Menurut Forbes, Tiong mempunyai anggaran nilai bersih sebanyak US$820 juta, menduduki tempat ke-25 dalam senarai 50 Orang Terkaya di Malaysia pada 2025 (AS$1 = RM4.15).

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan