KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina Group Berhad Tan Sri Lim Hock San, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Usahawan Hartanah Cemerlang 2025 di majlis The Edge Property Excellence Awards (TEPEA) 2025 yang berlangsung semalam.
Lim berkata penganugerahan itu mencerminkan usaha gigih seluruh keluarga besar LBS dalam memperkukuh pertumbuhan mampan dan menyumbang kepada kemajuan industri hartanah di Malaysia.
“LBS kini berkembang daripada syarikat sederhana kepada pemaju berwawasan yang berpandukan Strategi 8 x 8, sekali gus membangunkan komuniti yang mendorong kesejahteraan dan kemajuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
LBS memaklumkan Strategi 8 x 8 merangkumi lapan tonggak utama, termasuk Perumahan, Perindustrian dan Komersial, Pengoptimuman Bank Tanah, Peningkatan Kecemerlangan, Pemerkasaan Pekerja, Pengalaman Pelanggan, Kemajuan Kelestarian, serta Kesejahteraan Komuniti.
Kenyataan itu menekankan bahawa fokus ini secara kolektif memperkukuh misi LBS untuk mewujudkan nilai jangka panjang dan memberi impak bermakna kepada semua pihak berkepentingan.
Di bawah kepimpinan strategik Lim, LBS telah berkembang daripada perniagaan pembinaan sederhana kepada pemaju hartanah terkemuka Malaysia, dengan portfolio pelbagai merangkumi pembangunan perumahan, komersial, dan perbandaran hampir di seluruh negara.
TEPEA 2025 merupakan pengiktirafan berprestij kepada individu dan organisasi yang menunjukkan kecemerlangan serta sumbangan signifikan kepada industri hartanah negara.
Pengiktirafan ini mengangkat tokoh-tokoh berwawasan yang mencorakkan industri hartanah melalui kepimpinan, inovasi, dan semangat keusahawanan luar biasa, sekali gus memacu pertumbuhan lestari dan nilai jangka panjang.
Anugerah Tokoh Usahawan Hartanah Cemerlang menyanjung kepimpinan berwawasan dan keupayaan strategik para usahawan yang membawa kejayaan korporat serta mengangkat martabat sektor pembangunan hartanah Malaysia ke tahap lebih tinggi.
-- BERNAMA
