AM

LETUPAN BERHAMPIRAN RED FORT: PM ANWAR ZAHIRKAN RASA SEDIH

11/11/2025 06:58 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih beliau berikutan insiden letupan berhampiran Red Fort di Delhi pada petang Isnin, yang meragut beberapa nyawa dan mencederakan yang lain.

“Ucapan takziah setulus ikhlas saya tujukan kepada keluarga mangsa serta rakyat India yang sedang bersedih atas tragedi yang tidak berperikemanusiaan ini.

“Jika disahkan sebagai satu perbuatan keganasan, ia wajar dikecam sekeras-kerasnya. Tiada justifikasi bagi sebarang bentuk keganasan terhadap masyarakat yang tidak bersalah dan menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang awam,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Anwar turut merakam penghargaan kepada pasukan penyelamat dan pihak berkuasa yang sedang berusaha mengenal pasti punca letupan serta membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Doa dan ingatan kami bersama semua yang terkesan,” kata beliau.

Media melaporkan, letupan kereta itu telah meragut sekurang-kurangnya lapan nyawa dan mencederakan lebih 20 orang.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan