MELAKA, 11 Nov (Bernama) -- Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bakal memperkenalkan kaedah night farming atau penanaman nanas pada waktu malam di seluruh negara bermula tahun depan bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun.
Ketua Pengarah LPNM Mohd Khairuzamri M Salleh berkata kajian awal menunjukkan nanas lebih aktif menghasilkan makanan pada waktu malam sekali gus mempercepat tempoh matang, meningkatkan hasil tuaian serta penjimatan kos operasi.
“Di Malaysia hanya dua tanaman sahaja yang aktif membuat makanan pada waktu malam iaitu nanas dan buah naga, justeru inisiatif ini mampu memaksimumkan potensi tanaman nanas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Pemindahan Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas Melaka 2025 di Bukit Katil di sini hari ini.
Program itu disempurnakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Mengulas lanjut, Mohd Khairuzamri berkata berdasarkan kajian awal juga night farming membolehkan seorang pekebun mengusahakan antara 3,000 hingga 6,000 tanaman nanas setiap malam dengan lebih efektif berbanding siang.
"Sebagai contoh varieti MD2, tempoh penuaian yang biasanya mengambil masa 14 bulan dapat dipendekkan kepada 11 bulan apabila kaedah ini dilaksanakan.
“Data yang dikumpul akan digunakan untuk membentuk program berskala nasional yang memberi impak besar kepada industri nanas negara pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata aktiviti night farming juga membolehkan pekebun memperoleh satu lagi sumber pendapatan melalui kredit karbon.
Mohd Khairuzamri berkata inisiatif itu bakal memanfaatkan tenaga boleh diperbaharui seperti solar untuk mesin dan pencahayaan serta penggunaan sisa tanaman bagi pengiraan kredit karbon.
“LPNM kini bekerjasama dengan SIRIM Berhad dan kementerian berkaitan untuk menetapkan standard pengiktirafan kredit karbon ini. Apabila dimuktamadkan, kredit karbon akan dipulangkan semula kepada pekebun dan semua pemain industri, menjadikannya 'tuaian keempat' bagi nanas,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sasaran kawasan tanaman nanas di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) adalah 30,000 hektar secara nasional, tidak termasuk 20,000 hektar di Sarawak yang memerlukan strategi pelaburan swasta berasingan.
Selain itu, beliau berkata LPNM juga sedang juga memperkenalkan varieti baharu nanas yang lebih produktif, matang lebih cepat dan berketumpatan tinggi bagi memenuhi permintaan eksport yang semakin meningkat terutamanya bagi pasaran luar negara.
-- BERNAMA
