ALOR SETAR, 11 Nov (Bernama) -- Cadangan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) untuk melaksanakan penilaian semula taksiran cukai di kawasan pentadbiran mereka menimbulkan persoalan sama ada langkah itu wajar dalam situasi ekonomi yang perlahan pada masa ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang Adam Loh Wei Chai berkata keadaan semasa menunjukkan banyak penduduk sedang berdepan tekanan kewangan dan setiap keluarga bersusah payah berusaha bagi memastikan keperluan harian mereka mencukupi.
“Ini masa paling sesuaikah? (naikkan cukai). Ekonomi perlahan dan keluarga tengah hitung duit cukup atau tidak untuk makan seminggu. Banyak keluarga pula terpaksa memilih sama ada mahu bayar sewa rumah atau yuran sekolah anak.
“Dalam keadaan begini, kerajaan Kedah memilih pendekatan paling senang untuk naikkan cukai,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan Kedah 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Beliau turut memberitahu terdapat pemilik rumah yang mendakwa bayaran cukai mereka meningkat mendadak berdasarkan bil taksiran terbaharu.
“Di Alor Setar ada penduduk beritahu dan tunjukkan bil, tahun lepas bayar RM300 kali ni (akan datang) bayar RM700, ini kenaikan sangat tinggi. Saya faham kenaikan ini proses yang perlu dilalui.
“Kerajaan boleh naikkan cukai tapi secara perlahan-lahan dan bagi penjelasan yang bagus dan cakna kepada isu rakyat,” katanya.
Adam berkata semakan semula cukai pintu juga seharusnya disertakan dengan data, penjelasan menyeluruh dan tempoh peralihan yang munasabah bagi rakyat menyesuaikan diri.
“Jangan bersikap seperti zaman 1980-an apabila rakyat hanya disuruh ‘diam dan bayar’. Ini zaman rakyat celik maklumat dan mereka berhak tahu sebab di sebalik setiap keputusan,” katanya.
-- BERNAMA
