EKONOMI

BINTULU PORT KENDALI LEBIH 80 PERATUS PERDAGANGAN IMPORT, EKSPORT SARAWAK

11/11/2025 10:43 PM

KUCHING, 11 Nov (Bernama) -- Bintulu Port mengendalikan secara konsisten lebih 80 peratus daripada jumlah import dan eksport Sarawak, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Bintulu Port Holdings Bhd Datuk Ruslan Abdul Ghani.

Beliau berkata ini menunjukkan peranan penting Bintulu Port sebagai pemudah cara pertumbuhan ekonomi Sarawak, yang memacu perdagangan, menyokong industri serta menghubungkan negeri itu dengan pasaran global.

“Berikutan peralihan landskap tenaga global ke arah kemampanan, kami bersedia untuk melaksanakan peranan penting dalam sektor baharu seperti hidrogen hijau dan logistik tenaga boleh baharu.

“Ia bidang pertumbuhan baharu, dan Bintulu Port bersedia untuk menyokongnya,” katanya semasa majlis makan malam Customer Centric Nite 2025 di sini malam ini.

Ruslan berkata dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, Bintulu Port mengendalikan jumlah kargo sebanyak 38.3 juta tan dan menerima 5,649 kapal masuk ke pelabuhan walaupun kadang-kadang berdepan cabaran seperti aktiviti penyelenggaraan gas asli cecair (LNG) dan gangguan cuaca.

“Masa pusing balik kapal kami kekal berdaya saing iaitu 27 jam bagi kapal LNG dan 47 jam bagi kapal bukan LNG -- disokong oleh kadar ketersediaan peralatan sebanyak 87 peratus yang menunjukkan komitmen berterusan kami terhadap kecemerlangan operasi,” katanya.

Beliau berkata pemasangan sistem operasi pelabuhan dan sistem pagar automatik baharu dijangka siap menjelang akhir bulan ini.

Menurut Ruslan, dari segi kewangan, Bintulu Port terus memperlihatkan prestasi yang stabil, dengan merekodkan pulangan pelaburan sebanyak RM41 juta, pendapatan sesaham 22.3 sen dan aliran tunai operasi berjumlah RM117.7 juta.

"Asas ini memperteguh keupayaan kami untuk melabur semula dalam infrastruktur, inovasi digital dan pembangunan bakat, memastikan kami terus memberikan nilai yang lebih besar serta perkhidmatan yang dipertingkatkan kepada rakan kongsi dan pelanggan kami," katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan