PUTRAJAYA, 11 Nov (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan penangguhan tanpa syarat kepada Pelangi Prestasi Sdn Bhd terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan syarikat milik taikun perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary itu membayar ganti rugi sebanyak RM85.755 juta kepada Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) dan dua lagi.
Dua pihak lain ialah Grant Thornton Consulting Sdn Bhd dan Datuk C. Narendrakumar.
Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Mohamed Zaini Mazlan, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K. Muniandy, membenarkan penangguhan itu sementara Pelangi Prestasi menunggu rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi, dengan kos RM30,000.
Pada 28 Okt lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Su Tiang Joo memerintahkan Pelangi Prestasi membayar ganti rugi itu dengan tempoh taksiran bermula dari bulan Julai 2019 dan faedah dikira mulai September 2021.
Beliau turut mengambil maklum bukti mengenai kewujudan pembeli lain bagi SFI dan berkata syarikat itu sepatutnya boleh mengadakan rundingan namun telah dihalang oleh injunksi yang diperoleh Pelangi Prestasi.
Mahkamah Tinggi turut memerintahkan syarikat itu membayar kos sebanyak RM100,000.
Pada 2018, SFI telah menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) untuk menjual asetnya kepada Pelangi Prestasi dengan nilai RM1.2 bilion, tertakluk kepada beberapa syarat terdahulu.
SFI telah memberikan enam lanjutan tempoh kepada Pelangi Prestasi untuk memenuhi syarat itu terutama mendapatkan kelulusan Kerajaan Negeri Sabah termasuk pengeluaran lesen balak yang baharu.
Pada 30 April 2019, kerajaan negeri telah mengesahkan keputusannya untuk tidak mengeluarkan lesen balak baharu kepada Pelangi Prestasi.
SFI kemudian mengisytiharkan bahawa SPA itu telah terbatal secara automatik susulan kegagalan memenuhi syarat yang ditetapkan dalam tempoh lanjutan yang diberikan, dan seterusnya mengeluarkan tender baharu untuk menjual asetnya.
Pelangi Prestasi, bagaimanapun telah mendakwa bahawa SPA itu masih sah dan memfailkan saman pada 12 April 2019 yang mendakwa SFI telah melanggar perjanjian.
Pada masa sama, ia memperoleh injunksi bagi menghalang SFI daripada menjual asetnya sehingga saman itu selesai.
Pada 2022, Mahkamah Rayuan telah membatalkan saman Pelangi Prestasi terhadap SFI dan mengetepikan perintah injunksi yang diperoleh.
Pada 18 Jan 2023, Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan Pelangi Prestasi bagi memperoleh kebenaran merayu untuk menghidupkan semula saman itu.
Susulan keputusan itu, satu notis permohonan bagi taksiran ganti rugi telah difailkan pada 20 Feb 2023.
-- BERNAMA
