AM

RASIONAL KEPUTUSAN TIDAK RAYU PEMBERIAN KHAS SABAH TUMPUAN DEWAN RAKYAT HARI INI

13/11/2025 08:35 AM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Rasional Kerajaan Persekutuan tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah antara perkara dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) bertanyakan Perdana Menteri mengenai perkara itu selain ingin mengetahui implikasi keputusan berkenaan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sejurus persidangan bermula pada 10 pagi.

Pada sesi sama, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) bertanyakan Menteri Dalam Negeri berhubung keputusan mahkamah terkait Amri Che Mat serta Paderi Raymond Koh dan apakah langkah seterusnya yang akan diambil oleh kerajaan, khususnya menyentuh prosedur operasi standard (SOP) dan kewibawaan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) pula bertanyakan Perdana Menteri mengenai cabaran utama dihadapi kampung-kampung tradisi di Kuala Lumpur di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) termasuk dari segi pemilikan tanah, kemudahan asas, kepadatan dan tekanan pembangunan.

Beliau juga ingin tahu apakah pendekatan strategik kerajaan bagi memastikan identiti dan kesinambungan kampung-kampung berkenaan dapat dikekalkan.

Turut menarik perhatian, soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) kepada Perdana Menteri mengenai sejauh mana keberkesanan dasar perancangan bandar yang menetapkan dua petak parkir bagi setiap unit kediaman, mampu menangani isu kesesakan parkir di kawasan perumahan khususnya di Kuala Lumpur yang semakin padat.

Selain itu, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan status terkini persediaan kontinjen Malaysia bagi menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand termasuk jumlah atlet dan jurulatih serta apakah sasaran keseluruhan pingat yang ditetapkan kementerian.

Selepas sesi soal jawab, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa. 

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan