KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Editor Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) S. Sivaselvam, yang meninggal dunia pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Fahmi berkata jasa dan sumbangan mendiang dalam bidang kewartawanan amat dihargai serta akan terus dikenang.
"Bagi pihak Kementerian Komunikasi, saya ucapkan takziah kepada keluarga saudara Sivaselvam Sambasivam yang meninggal dunia pagi tadi.
"Jasa dan sumbangan mendiang dalam bidang kewartawanan amat dihargai dan akan terus dikenang. Semoga rohnya bersemadi dengan aman," katanya.
Balu mendiang Lalitha S. Nadarajah memaklumkan bahawa Sivaselvam, atau lebih dikenali sebagai Siva, 77, menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Cheras di sini akibat masalah kesihatan.
-- BERNAMA
