GEORGE TOWN, 14 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang hari ini membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM1.088 bilion yang meliputi RM1.051 bilion sebagai perbelanjaan mengurus dan RM37 juta untuk perbelanjaan pembangunan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata dengan mengambil kira anggaran hasil negeri RM1.068 bilion berbanding anggaran perbelanjaan sebanyak RM1.088 bilion, belanjawan 2026 menyaksikan anggaran defisit terendah dalam sejarah negeri, iaitu RM19.92 juta berbanding unjuran defisit 2025 sebanyak RM33.63 juta.
Beliau berkata secara perbandingan, anggaran perbelanjaan mengurus 2026 menunjukkan peningkatan sebanyak RM147.72 juta atau 15.71 peratus berbanding pada 2025.
“Anggaran perbelanjaan mengurus 2026 turut meliputi caruman ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri (KWPN) sebanyak RM265 juta bagi menampung komitmen perbelanjaan pembangunan negeri 2026 yang berjumlah RM318.62 juta,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.
Beliau berkata Belanjawan Pulau Pinang 2026 adalah berteraskan empat tema iaitu meningkatkan daya huni bagi menambah baik kualiti kehidupan; menaik taraf ekonomi bagi meningkatkan pendapatan isi rumah; memperkasakan rakyat bagi meningkatkan penyertaan awam; dan melabur dalam persekitaran terbina bagi menambah baik daya pemulihan.
Perhatian utama tahun depan adalah kepada projek berimpak tinggi yang melibatkan kepentingan strategik termasuk pengambilan tanah bagi pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, projek Gurney Bay Fasa 2, pembangunan Pulau Silikon serta projek sambungan di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang menjadi antara pemacu utama pembangunan negeri, katanya.
Chow berkata selain projek baharu, sebanyak 122 projek sambungan telah disenaraikan untuk tahun hadapan, meliputi pelbagai kategori pembangunan seperti infrastruktur awam, kemudahan masyarakat dan projek khas ekonomi.
“Antara projek pembangunan lain yang disenaraikan pada 2026 termasuk Projek Pembesaran Muzium dan Balai Seni Lukis, Projek Kemajuan Bukit Bendera, Projek Pembinaan Bangunan Asrama Majlis Sukan Negeri dan Pembinaan Bangunan Baharu Mahkamah Rendah Syariah Timur Laut.
“Selain itu, beberapa projek pembinaan dewan komuniti seperti Dewan Batu Maung, Dewan Kampung Baru Alma dan Dewan Taman Senangin turut disenaraikan sebagai projek sambungan bagi 2026,” katanya.
Beliau berkata bagi memperkukuh aspek keselamatan awam, kerajaan negeri melalui inisiatif Penang2030 terus melaksanakan langkah proaktif menerusi pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di seluruh negeri.
“Inisiatif ini bukan sahaja berperanan dalam mencegah jenayah, malah turut menyokong pemantauan lalu lintas dan memperkukuh pelaksanaan konsep bandar pintar ke arah negeri yang lebih selamat, berdaya huni dan berteknologi tinggi,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan kutipan hasil 2026 sebanyak RM1.068 bilion dan secara umumnya anggaran hasil 2026 meningkat sebanyak RM161.44 juta atau 17.81 peratus berbanding 2025.
“Kerajaan negeri menjangkakan peningkatan hasil cukai, terutama cukai langsung melalui kadar baharu Cukai Tanah mulai 2026, namun kerajaan negeri akan memperkenalkan rebat cukai tanah bagi memastikan pemilik tanah tidak terkesan dengan kadar cukai baharu tersebut,” katanya.
-- BERNAMA
