AM

SELANGOR BERI REBAT PBT KEPADA PENDUDUK MILIKI FASILITI MESRA ALAM DI RUMAH

14/11/2025 07:46 PM

SHAH ALAM, 14 Nov (Bernama) -- Selangor akan memulakan pemberian rebat cukai pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi penduduk yang mempunyai fasiliti teknologi mesra alam di rumah pada tahun hadapan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata penduduk Selangor yang memasang fasiliti itu akan menikmati sehingga 100 peratus rebat cukai bagi tahun taksiran 2026 dengan memohon kepada PBT masing-masing serta perlu melalui proses semakan. 

Beliau berkata setiap PBT iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Bandaraya Diraja Klang akan memperuntukkan jumlah pengecualian cukai RM1 juta bagi tahun taksiran 2026.

“Bagi majlis perbandaran (lain) pula, mereka akan menyediakan peruntukan RM200,000 dan Majlis Daerah Sabak Bernam memperuntukan sebanyak RM100,000 bagi tujuan rebat cukai taksiran,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Undangan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Amirudin berkata antara contoh fasiliti atau produk teknologi mesra alam pemasangan panel solar bagi mengurangkan kebergantungan kepada grid nasional, sistem penuaian air hujan, pengasingan sisa di rumah yang memudahkan proses kitar semula, unit pengecasan kenderaan elektrik dan sistem pengkomposan sisa makanan. 

“Kita telah melihat sistem sebegini berjaya dilaksanakan di MBPJ yang mendapat sambutan 2,313 pemohon menerima rebat cukai sebanyak RM878,205.05,” katanya.  

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan