KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Karnival Sukan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 membawa semangat kesukanan, perpaduan dan kekitaan dalam kalangan warga media di seluruh negara.
Program anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu bersempena dengan HAWANA 2025, dijadualkan berlangsung pada 14, 20 dan 21 Dis ini di dua lokasi utama, iaitu IWK Eco Park@Pantai Dalam dan Wangsa Bowl@One Utama.
Sekretariat HAWANA dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan karnival sukan berkenaan diadakan sebagai platform untuk mengukuhkan lagi hubungan sesama petugas media melalui aktiviti riadah selain mempromosikan gaya hidup sihat.
Program dimulakan dengan pertandingan boling pada 9 pagi, 14 Dis di Wangsa Bowl, One Utama, manakala pada 20 Dis, acara bola sepak dan bola jaring pula akan berlangsung di IWK Eco Park, Pantai Dalam, pukul 7 pagi.
Pada 7 pagi, 21 Dis permainan tradisional akan diadakan di IWK Eco Park, Pantai Dalam.
Menurut Sekretariat HAWANA, karnival sukan itu terbuka kepada semua petugas organisasi media dan penyertaan boleh dibuat melalui pautan pendaftaran https://drive.google.com/drive.
HAWANA mula diperkenalkan pada 2018 sebagai pengiktirafan kepada sumbangan wartawan dalam pembangunan negara dan tarikh 29 Mei dipilih mengambil sempena penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu pada 1939.
HAWANA, yang kali pertama disambut pada 11 April 2018 merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi, dengan Bernama selaku agensi pelaksana.
-- BERNAMA
