EKONOMI

U MOBILE PEROLEH KEMUDAHAN PEMBIAYAAN BERSINDIKET RM4.3 BILION BAGI PELAKSANAAN 5G

14/11/2025 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- U Mobile Sdn Bhd telah memeterai kemudahan pembiayaan bersindiket sebanyak RM4.3 bilion dengan lima bank bagi menyokong pelaksanaan rangkaian 5G generasi seterusnya selain mempercepat perluasan pengalaman ULTRA5G ditawarkan syarikat itu.

Dalam kenyataannya, syarikat telekomunikasi itu berkata ini meletakkannya antara kelompok penerima pembiayaan bersindiket dalam denominasi ringgit terbesar bagi sebuah entiti yang tidak tersenarai.

CIMB Investment Bank Bhd berperanan sebagai penyelaras pinjaman tunggal dan pengatur utama dengan CIMB Bank Bhd, CIMB Islamic Bank Bhd, Maybank Islamic Bank Bhd, AmBank Islamic Bank Bhd serta UOB Malaysia turut menyediakan pembiayaan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile Wong Heang Tuck berkata syarikat itu juga mendahului sasaran pelaksanaan rangkaiannya dengan 5G U Mobile dilaksanakan di serata Malaysia mulai pertengahan tahun ini.

“Sehubungan itu, kemudahan pembiayaan ini akan terus mempercepat impian pelaksanaan kami serta memperkukuh komitmen syarikat bagi memacu ekonomi digital Malaysia,” katanya.

Wong berkata kemudahan pembiayaan itu dimanfaatkan terutamanya bagi menampung perbelanjaan modal dan modal kerja bagi pelaksanaan rangkaian 5G generasi baharu U Mobile dengan sasaran mencapai 80 peratus liputan kawasan berpenduduk menjelang separuh kedua 2026.

“Pembiayaan ini juga bagi mempercepat pengembangan pengalaman ULTRA5G U Mobile di seluruh negara yang menjadi pemangkin utama dalam memajukan ekonomi digital Malaysia,” katanya.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil telah menetapkan sasaran untuk U Mobile mencapai 80 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk dalam tahun pertama operasi dan seterusnya 95 peratus menjelang tahun ketiga yang sejajar dengan rancangan perniagaan terperinci syarikat bagi menerajui rangkaian 5G kedua Malaysia.

Menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen pada 12 November lepas, kementerian itu berkata U Mobile juga telah menaik taraf 2,976 tapak ke liputan 5G yang memberi 58.2 peratus liputan di kawasan berpenduduk setakat 31 Oktober 2025.

“Selain itu, sebanyak 11 bangunan turut dilengkapkan dengan infrastruktur 5G dan tapak-tapak berkenaan akan mula beroperasi secara berperingkat mengikut jadual yang hanya memaparkan fasa pelaksanaan aktif dalam peluasan rangkaian 5G negara,” kata kementerian itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan