AM

KDN PERHEBAT REFORMASI PENJARA - SAIFUDDIN NASUTION

15/11/2025 11:39 AM

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 15 Nov (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melaksanakan pembaharuan menyeluruh terhadap sistem pengurusan penjara negara dengan menekankan kesejahteraan prospek dan keberkesanan pemulihan di luar tembok.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata selain penambahbaikan fasiliti fizikal seperti penjara usang, fokus turut diberikan pada pengurusan kumpulan rentan dalam kalangan prospek seperti warga emas dan individu kurang upaya.

“Aspek yang saya ingin tekankan juga adalah 4,000 kumpulan rentan (di penjara) kerana mereka ini ada yang cacat fizikal atau warga emas yang disabit kesalahan dan dihukum penjara.

“Jadi kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan tandas yang lebih sesuai umpamanya perlu kita buat dan fikirkan. Saya mahu terjemahkan nilai MADANI - ada belas kasihan pada mereka. Walaupun jumlahnya kecil, tetapi saya ada tanggungjawab moral untuk menguruskan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Bernama diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di pejabat beliau baru-baru ini.

Menurut Saifuddin Nasution, kementerian kini turut meneliti proses penggantian penjara usang seperti Penjara Pengkalan Chepa di Kelantan dan Penjara Alor Setar di Kedah sebagai sebahagian usaha memperbaik infrastruktur sedia ada yang semakin tidak sesuai untuk menampung keperluan semasa.

Melangkaui pendekatan tradisional, KDN melalui Jabatan Penjara juga melaksanakan program pemulihan di luar tembok seperti sistem parol dan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) yang terbukti berkesan mengurangkan kadar pengulangan jenayah (residivisme). 

Katanya data terkini Jabatan Penjara menunjukkan hanya seorang daripada 800 peserta program kembali melakukan jenayah selepas dibebaskan, berbanding kadar pengulangan dalam kalangan prospek yang menjalani hukuman sepenuhnya dalam penjara, yang merekodkan kadar pengulangan jauh lebih tinggi iaitu kira-kira 13 daripada setiap 100 orang.

“Apabila mereka dibimbing di luar penjara, mereka dapat kemahiran dan berubah. Data menunjukkan pemulihan luar tembok jauh lebih berkesan,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata pendekatan berasaskan komuniti itu juga membantu mengubah persepsi masyarakat terhadap prospek, apabila mereka berjaya membuktikan kemampuan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Dulu masa kita keluarkan mereka (prospek) letak di satu kampung, ada yang bantah tetapi sekarang, (ada memaklumkan) mereka sendiri minta tambah dari 260 orang kepada 500 orang,” katanya.

Mengulas usaha mengurangkan tekanan populasi penjara yang kini menempatkan 87,000 individu berbanding kapasiti 73,000, Saifuddin Nasution berkata KDN sedang memuktamadkan pindaan Akta Penjara untuk membolehkan perintah tahanan rumah terhadap tahanan reman. 

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 30,000 merupakan prospek yang belum disabitkan kesalahan dan ada antaranya tidak mampu membayar wang jaminan, sekali gus menjadi penyumbang terbesar kepada kesesakan.

“Kalau kita ada akta tahanan rumah untuk tahanan reman, kita boleh keluarkan mereka. Kesan segeranya, penjara jadi kurang sesak,” katanya.

Pembaharuan infrastruktur dan sistem pemulihan yang sedang dilaksanakan mencerminkan usaha kerajaan menjadikan sistem keadilan negara lebih inklusif, berperikemanusiaan dan sejajar dengan nilai-nilai Malaysia MADANI, kata Saifuddin Nasution.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan