POLITIK

PRN SABAH: DUA CALON PARTI DAMAI SABAH GAGAL SERAH PENCALONAN KERANA LEWAT

15/11/2025 12:09 PM

KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) -- Dua calon daripada Parti Damai Sabah (SPP) gagal menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 selepas lewat tiba di Pusat Penamaan Calon. 

Abdul Hata Abdul Hala gagal menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan kerana tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Arena Masyarakat Semporna selepas 10 pagi.

Turut gagal menyerahkan borang pencalonan di pusat pencalonan sama ialah Ahmad Daud Awang yang berhasrat untuk bertanding di DUN Bugaya dalam Parlimen Semporna.

Sebaik proses penamaan calon berakhir pada 10 pagi, maka kempen PRN Sabah bermula selama 14 hari, iaitu hingga 11.59 malam pada 28 Nov seperti ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebanyak 73 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN kali ini dan tarikh pengundian awal ditetapkan pada 25 Nov manakala hari pengundian 29 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari  https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan