POLITIK

PRN SABAH: TINDAKAN TEGAS TERHADAP AHLI GRS TANDING BEBAS - HAJIJI

15/11/2025 03:16 PM

TUARAN, 15 Nov (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahli dalam parti komponennya yang bertanding atas tiket Bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) berkata beliau perkara itu dikhuatiri boleh menyebabkan berlaku pertembungan sama ada dengan calon PGRS sendiri atau dengan parti komponen dalam GRS.

"Bagi parti-parti yang friendly contest itu kita boleh terima, tetapi bagi ahli-ahli PGRS dan GRS yang bertanding calon Bebas, kita akan ambil tindakan untuk pecat mereka daripada parti.

"Ini kita tidak boleh bertolak ansur," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, Pantai Dalit, Kiulu dan Tamparuli di Dewan Seri Sulaman di sini hari ini.

Hajiji berdepan pertandingan lima penjuru di DUN Sulaman pada pilihan raya kali ini dan dicabar calon muda serta muka baharu daripada Barisan Nasional (BN) Dr Shahnon Rizal Thaijuddin, Mokhtar Hussin (Warisan), Tiaminah @ Siti Aminah Ele (Perikatan Nasional) dan Pajudin Nordin (Parti Impian Sabah).

Pada PRN lepas, beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Sulaman dengan majoriti 3,099 undi dalam persaingan tiga penjuru.

Sementara itu, Hajiji berkata beliau yakin mampu mempertahankan kerusi berkenaan. 

"Inilah demokrasi. Semua boleh bertanding. Tetapi, saya amat yakin GRS akan menang dengan majoriti besar di kawasan Sulaman," kata Hajiji yang telah menyandang kerusi itu sejak 1990.

Beliau juga yakin GRS dan Pakatan Harapan akan membentuk kerajaan pada 29 Nov ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 29 Nov manakala pengundian awal pada 25 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

 

PENCALONAN/NOMINATION - SABAH
N12: SULAMAN: SABAH: 18,352
 
1. Datuk Seri Hajiji Noor (GRS-Gagasan Rakyat)
2. Tiaminah @ Siti Aminah Ele (PN-Bersatu)
3. Dr Shahnon Rizal Thaijuddin (BN-UMNO)
4. Pajudin Nordin (PIS)
5. Mohktar Hussin (Warisan)
 
(2020: Datuk Seri Hajiji Noor: PN-Bersatu: Maj: 3,099)

 

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan