EKONOMI

MALAYSIA SATUKAN DASAR, PELABURAN & MODAL INSAN JANA MASA DEPAN TENAGA ASIA TENGGARA - SEDA

15/11/2025 04:18 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Malaysia menyasar untuk menerajui pembangunan sistem tenaga yang terjamin, mampu milik dan rendah karbon di Asia Tenggara dengan menggabungkan dasar yang stabil, projek boleh labur, infrastruktur moden serta modal insan berkemahiran.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA), Datuk Hamzah Hussin berkata peralihan tenaga kini bukan lagi mengenai keseimbangan antara pertumbuhan dan kelestarian sebaliknya sebagai usaha untuk menjajarkan kedua-duanya ke arah mencapai kemajuan bersama.

“Kita mesti bekerjasama untuk mencetuskan peralihan tenaga -- memacu kemajuan Malaysia, memperkukuh daya tahan ASEAN, dan menerangi jalan ke arah masa depan mampan untuk semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi bertajuk “Global Lessons to Accelerate Malaysia’s Energy Roadmap” di Pavilion Malaysia pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP30) yang diadakan di Belem, Brazil.

Hamzah, yang mengetuai delegasi Malaysia semasa sesi itu, berkata Malaysia sedang bergerak maju daripada projek rintis ke arah penyepaduan seluruh sistem dengan menggabungkan dasar, kewangan dan infrastruktur dalam satu ekosistem yang padu.

“Inisiatif rentas sempadan seperti Grid Tenaga ASEAN serta potensi koridor hidrogen dan karbon dioksida akan mempercepat kerjasama serantau.

“Menerusi sokongan Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia, Kemudahan Penyediaan Projek Serantau di bawah Pusat Tenaga ASEAN sedang mengubah rancangan serantau kepada projek yang boleh dibiayai,” katanya.

Beliau berkata cabaran bukan sahaja untuk menetapkan sasaran yang lebih tinggi malah juga mengubah pengajaran daripada insiden global kepada tindakan tempatan -- merapatkan jurang antara dasar dan pelaksanaan, serta antara aspirasi dan pelaksanaan sebenar.

“Komitmen Malaysia terhadap Perjanjian Paris dan sasaran kita untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 menjadi asas kepada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara(NETR) yang menetapkan 70 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2050, dengan sasaran sementara 31 peratus menjelang 2025,” katanya.

Hamzah berkata NETR, yang menetapkan enam pemacu peralihan tenaga iaitu TBB, kecekapan tenaga, hidrogen, biotenaga, mobiliti hijau, serta pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), mengunjurkan keperluan pelaburan terkumpul berjumlah RM1.2 trilion hingga RM1.3 trilion (US$284 bilion hingga RM307 bilion).

“Pelan hala tuju ini mengunjurkan keperluan pelaburan terkumpul berjumlah RM1.2 trilion hingga RM1.3 trilion.

“Ini bukan sahaja menandakan cabaran kewangan malah juga peluang transformasi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, mewujudkan pekerjaan hijau bernilai tinggi, menarik pelaburan berkualiti dan memperkukuh keterjaminan dan daya saing keseluruhan tenaga Malaysia,” katanya.

Ketika Dialog Peringkat Tinggi, Malaysia mengulangi komitmen untuk belajar melalui pelbagai kerjasama strategik global untuk memacu kemajuan mampan.

Kerjasama itu membawa pelaburan, teknologi dan akses pasaran jangka masa panjang bagi inisiatif hidrogen, biobahan api dan pemerangkapan karbon.

Hamzah berkata Malaysia mengambil pengajaran itu dan mengubahnya menjadi amalan menerusi peluasan Sukuk Hijau, kerjasama rentas sempadan melalui Grid Tenaga ASEAN, melabur dalam pemodenan grid dan penyimpanan, serta memperluas program pemahiran semula dan peningkatan kemahiran melalui pemerkasaan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Semua langkah ini mempertingkatkan kapasiti, kesiapsiagaan pasaran dan keyakinan pelabur dari semasa ke semasa,” katanya.

Antara individu berpengaruh yang berkongsi pandangan dalam sesi itu ialah Pakar Kanan Perubahan Iklim Bank Pembangunan Asia, Kate Hughes, yang juga pemudah cara dalam sesi itu;  Ketua Rangkaian Pembahagian Tenaga Nasional Bhd, Mahathir Nor Ismail; Pengerusi Suruhanjaya Peralihan Tenaga, Lord Adair Turner; dan Ketua Kewangan Lestari Forum Ekonomi Dunia (WEF), Derek Baraldi.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan