POLITIK

EMPAT TIMBALAN MENTERI PERSEKUTUAN TANDING PRN SABAH KE-17

15/11/2025 06:26 PM

KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) -- Empat Timbalan Menteri Persekutuan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang turut menyaksikan 596 calon bersaing merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang mewakili Barisan Nasional (BN) berdepan saingan lima penjuru di DUN Sook.

Arthur, 43, yang juga Ahli Parlimen Pensiangan itu mencabar penyandang kerusi DUN iaitu bekas Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Ellron Angin, 66, juga bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah yang menang kerusi itu dengan majoriti 1,232 undi pada PRN lepas.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin juga Timbalan Pengerusi DAP Sabah pula mencabar penyandang DUN Tanjung Aru Datuk Junz Wong, 46, dalam saingan sembilan penjuru.

Chan, 46, mewakili Pakatan Harapan (PH) berdepan dengan Wong yang juga Naib Presiden Warisan, telah memenangi DUN itu dengan majoriti 3,147 undi.

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin pula berdepan penyandang kerusi DUN Bongawan iaitu Naib Presiden Warisan Dr Daud Yusof, 64, yang memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,802 undi dalam persaingan sembilan penjuru.

Mohamad, 52, juga Ahli Parlimen Kimanis turut berdepan pemimpin berpengalaman Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman, 71, yang bertanding di DUN itu di bawah tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Mohammad Yusof Apdal juga Ahli Parlimen Lahad Datu pula berdepan pertandingan lapan penjuru di DUN Silam mewakili Warisan.

Pada PRN lepas, DUN Silam dimenangi Dumi Pg Masdal daripada Warisan dengan meraih majoriti 1,542 undi namun beliau tidak bertanding kali ini. 

Bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, 42, juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mempertahankan DUN Kadamaian dalam saingan lapan penjuru untuk DUN yang dimenanginya pada PRN lepas dengan majoriti 3,459 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRN Sabah pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan