POLITIK

PELUANG CALON BN LEBIH CERAH HASIL KERJASAMA DENGAN PH - AHMAD ZAHID

15/11/2025 08:06 PM

KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) dilihat mempunyai peluang lebih cerah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini hasil kerjasama gabungan itu dengan Pakatan Harapan (PH). 

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama BN-PH memberikan kelebihan strategik terutama di kawasan majoriti pengundi bumiputera bukan Islam dan Cina yang sebelum ini sukar ditembusi.

“Apabila kita bekerjasama dengan PH di kawasan bumiputera bukan Islam dan pengundi Cina, kita dapati mereka menyambut ini dengan lebih erat dan terdapat keserasian dalam kalangan kombinasi Sabah ini kepada parti-parti yang menjadi komponen kepada BN dan PH,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata walaupun terdapat pertindihan di beberapa kerusi antaranya di Kemabong dan Karamunting, perkara itu diselesaikan menerusi persefahaman. 

“Persefahaman yang kami lakukan ialah di tempat-tempat yang berlaku pertindihan kerusi, jentera bergerak secara berasingan, asalkan tidak menyentuh perkara melibatkan sensitiviti parti-parti tersebut,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid menghadiri Program Khatam Perdana dan Forum Makanan Baik dan Sihat di Institut Kemahiran Mara Kota Kinabalu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penasihat GIATMARA Sepanggar Datuk Yakubah Khan yang juga calon BN bagi Karambunai.

BN yang merangkumi UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berdepan persaingan sekurang-kurangnya empat penjuru di 45 kerusi yang ditandingi daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata hal itu tidak melemahkan keyakinan BN susulan kombinasi sokongan pengundi pelbagai kaum serta kesiapsiagaan jentera yang lebih tersusun.

“Kami merasakan pada kali ini, peluang untuk calon-calon kami lebih besar dan jentera BN lebih tersusun di samping kerjasama daripada badan badan perhubungan negeri-negeri yang sekarang berada di seluruh 45 DUN,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya BN mempunyai kerjasama sulit dengan Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Saya tidak pernah mengadakan perbincangan sekalipun dengan Datuk Seri Shafie Apdal…dan kita tidak ada pakatan,” katanya yang tidak menolak kemungkinan mengadakan rundingan dengan parti itu selepas keputusan PRN diumumkan.

Menurutnya situasi politik di Sabah berbeza dengan Semenanjung iaitu isu nasional tidak dominan sebaliknya pengundi lebih memikirkan isu asas negeri seperti prasarana dan utiliti.

“Masalah air, masalah elektrik, masalah jalan menjadi bual bicara dalam kalangan para pengundi sama ada di dalam bandar atau luar bandar,” katanya.

Mengenai isu tuntutan hasil 40 peratus Sabah, Ahmad Zahid menegaskan kerajaan Persekutuan tidak pernah menolak tuntutan itu dan yakin isu berkenaan bukanlah faktor penentu utama dalam kempen kali ini.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php .

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan