AM

SULTAN NAZRIN BERKENAN TONTON TEATER DATUK LAT “KAMPUNG BOY”

16/11/2025 05:38 AM

IPOH, 15 Nov (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menonton Karya Teater Seniman Negara Datuk Lat ”Kampung Boy” di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak di sini malam ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Seniman Negara Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris.

Usai pementasan teater berdurasi kira-kira satu jam 40 minit itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan bergambar dan beramah mesra bersama barisan pelakon sebelum berangkat pulang pada 10.15 malam.

JKKN dalam kenyataan memaklumkan teater itu dipentaskan MOTAC menerusi JKKN Perak serta Pertubuhan Seni Kayangan Perak (PESKAP) dengan kerjasama kerajaan negeri dan Yayasan Hasanah.

Menurut JKKN, pementasan itu sebagai penghormatan istimewa kepada Seniman Diraja Datuk Lat atas sumbangan besar beliau dalam mengangkat budaya dan identiti Malaysia ke persada antarabangsa melalui karyanya.

Mohd Amran dalam kenyataan sama berkata teater itu bukan sahaja penghormatan yang wajar diberikan kepada Datuk Lat, malah projek seni yang membawa nilai tinggi. 

“Melalui penterjemahan visual komik realisme ini, kami berharap dapat menyemai nilai budaya tinggi dalam kalangan penonton, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI. 

“JKKN berbesar hati menyediakan platform berskala besar ini bagi mengukuhkan kegiatan teater serta membangunkan khalayak baharu,” katanya.

Teater yang menterjemahkan komik ikonik "The Kampung Boy" menampilkan pelakon antaranya Taiyuddin Bakar, Safura Ya'cob, Ilya Senario dan Hadi Mikail. 

Pementasan itu diarahkan oleh Ridhwan Saidi berdasarkan skrip nukilan Saad Omar yang mengimbau kenangan zaman kanak-kanak Lat di Kampung Lalang, Kota Bharu dekat Kampar sebelum berpindah ke Ipoh.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan