KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin di Perlis, muncul juara kategori sekolah menengah pada Junior Innovathon 2025 menerusi inovasi alat pengesanan dan penapis gas karbon monoksida.
Bagi kategori sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Father Barre, Kedah dinobatkan juara melalui inovasi Bag Me Up. Kedua-dua juara membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 berserta sebuah iPad.
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Kewangan II yang memangku tugas Menteri Ekonomi Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada episod akhir Junior Innovathon yang berlangsung di Angkasapuri Kota Media di sini hari ini.
Junior Innovathon 2025, yang julung kali dianjurkan bertujuan mencungkil bakat inovasi dalam kalangan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, kolej vokasional, Maktab Rendah Sains Mara serta sekolah persendirian.
Program itu adalah inisiatif Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Komunikasi, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Naib juara kategori sekolah menengah, yang membawa pulang RM22,000 dimenangi Kolej Vokasional (KV) Pasir Gudang, Johor melalui inovasi Bot Sabut, manakala bagi kategori sekolah rendah, tempat kedua disandang SK Seri Indera, Perlis dengan inovasi Recypot 2.0: Brewed For A Greener Future.
Tempat ketiga kategori sekolah menengah dimenangi SMK Taman Jasmin 2, Selangor melalui inovasi Ecopolypave 23, manakala kategori sekolah rendah diraih SK Padang Mengkuang, Terengganu melalui inovasi Rasbela. Kedua-dua pemenang menerima RM15,000.
Bagi tempat keempat, dengan hadiah RM11,000 dimenangi Kolej Vokasional Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan bagi kategori sekolah menengah menerusi inovasi Wire Sure, manakala SK Seri Negeri, Langkawi, Kedah meraih tempat keempat kategori sekolah rendah melalui inovasi Smart Eco-Watering System.
Tempat kelima kategori sekolah menengah dimenangi SMK Seksyen 10 Kota Damansara, Selangor melalui inovasi NeuroSnug, manakala bagi kategori sekolah rendah disandang SK Methodist Parit Buntar, Perak menerusi inovasi Crayoelaeis. Kedua-dua pasukan menerima RM8,000.
Selain itu, Anugerah Persembahan Inovasi Terbaik PTPTN turut dimenangi KV Pasir Gudang dan SK Methodist Parit Buntar, masing-masing menerima wang tunai RM2,500.
Wakil juara, Muhammad Iqram Zulfiqqar Idris dari SMK Syed Sirajuddin berkata kemenangan itu adalah pencapaian yang amat bermakna kerana ia lahir daripada usaha bersama rakan sepasukan serta sokongan padu guru dan pihak sekolah.
“Kami tidak menyangka inovasi ini dapat melangkah sejauh ini, saya harap ia (inovasi) tidak sekadar terhenti di sini tetapi dapat dikembangkan menjadi teknologi sebenar yang mampu melindungi masyarakat di Malaysia dan juga di luar negara daripada risiko keracunan gas karbon monoksida,” katanya.
Izzhana Ambi Mohd Haniff dari SK Convent Father Barre pula menzahirkan kegembiraan kerana usaha mereka selama ini membuahkan kejayaan, sekali gus berharap inovasi yang dihasilkan dapat memberi manfaat kepada pelajar.
“Saya harap murid-murid dapat mengurangkan risiko skoliosis yang semakin membimbangkan. Kami juga berharap produk ini mampu membantu murid-murid menjaga kesihatan tulang belakang mereka dengan lebih baik,” katanya.
-- BERNAMA
