AM

MPOGCF, PERHILITAN ANJUR SIMPOSIUM KEBANGSAAN KONSERVASI DAN PENGURUSAN GAJAH ASIA 2025

16/11/2025 12:40 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia buat julung kalinya menganjurkan Simposium Kebangsaan Konservasi dan Pengurusan Gajah Asia 2025.

MPOGCF memaklumkan simposium itu yang berlangsung di Felda Residence Tanjung Leman, Mersing, Johor bermula hari ini hingga Selasa, berperanan sebagai platform untuk menyelaras pendekatan pengurusan gajah yang lebih moden berasaskan data dan berpaksikan integrasi landskap.

Bertemakan kehidupan bersama, program berkenaan menekankan keupayaan negara menyepadukan keperluan pembangunan dengan kelestarian biodiversiti, seiring aspirasi Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan 2023-2030 (NECAP 2.0) serta komitmen Malaysia di bawah Siem Reap Declaration for Asian Elephant Conservation 2025.

“Simposium ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus mempertingkat kaedah konservasi, termasuk pengukuhan rangkaian koridor ekologi, penggunaan teknologi pemantauan dan perancangan spatial berskala besar,” menurut MPOGCF dalam kenyataan hari ini.

Melalui penglibatan pakar biologi, pengurus landskap, pembuat dasar, pemain industri dan komuniti penyelidik, simposium itu dijangka memposisikan Malaysia secara lebih strategik sebagai negara rujukan serantau dalam pengurusan Gajah Asia yang mampan, saintifik dan berasaskan kerjasama pelbagai pihak.

MPOGCF memaklumkan simposium tiga hari itu akan dihadiri 100 peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemain industri sawit.

Sebanyak 20 kertas kerja akan dibentangkan oleh pakar dan penyelidik daripada Perhilitan, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), MPOGCF, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta pemain industri sawit dan NGO.

Perbincangan pada simposium itu meliputi tiga skop utama iaitu Habitat, Koridor, Penyambungan dan Strategi Pengurusan Landskap bagi Konservasi Gajah; Penggunaan Teknologi Dalam Pengurusan Konflik Gajah serta Amalan Pengurusan Terbaik.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim menerusi kenyataan sama berkata simposium itu menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih erat dalam kalangan semua pihak berkepentingan demi memastikan kelangsungan populasi Gajah Asia dan keseimbangan ekosistem hutan Malaysia.

Pengurus Besar MPOGCF Hairulazim Mahmud pula berkata yayasan itu komited untuk terus menjadi penghubung antara sektor industri dan kerajaan dalam melaksanakan projek konservasi berimpak tinggi di seluruh negara.

“Kerjasama antara kepakaran teknikal Perhilitan dan sokongan industri melalui MPOGCF membuka lembaran baharu dalam landskap konservasi negara, khususnya dalam mitigasi konflik gajah di kawasan ladang kelapa sawit dan pendidikan komuniti bagi mewujudkan keseimbangan antara manusia dan hidupan liar,” katanya dalam kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan