PASIR MAS, 16 Nov (Bernama) -- Sebanyak 300 rumah penduduk miskin di Kelantan yang uzur dan mengalami kerosakan sedang dibaik pulih menerusi peruntukan Program Sejahtera MADANI berjumlah RM4.5 juta.
Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan Jasri Kasim berkata lebih 50 rumah telah siap dibaik pulih di seluruh jajahan, manakala 12 lagi rumah di Pasir Mas sedang dibaiki.
“Kita jangka semua 300 rumah tersenarai siap sebelum hujung tahun ini melalui kaedah gotong-royong bersama komuniti dan NGO. Pasir Mas mencatat jumlah permohonan tertinggi dengan 97 penerima, diikuti Tanah Merah dan Machang," katanya pada Program Gotong-Royong Perdana Baik Pulih Rumah Inisiatif Kasih MADANI di Kampung Tasek Berangan, di sini hari ini.
Beliau berkata bantuan yang disalurkan meliputi kerosakan kecil seperti menukar bumbung bocor dan dinding reput serta pelaksanaan program ini berteraskan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Jasri berkata inisiatif itu juga membantu penduduk membuat persediaan menghadapi musim tengkujuh dan berdasarkan data eKasih, Kelantan merekodkan 45,849 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar setakat 27 Okt, turun sebanyak 12,969 berbanding 58,818 KIR pada akhir Dis 2024.
“Daripada jumlah itu, Pasir Mas mencatat 6,059 KIR miskin dan miskin tegar setakat Oktober tahun ini berbanding 7,474 KIR pada akhir 2024,” katanya.
Sementara itu, Jasri berkata pihaknya turut memulakan baik pulih 50 rumah anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang daif melalui Program Teduhan Kasih RELA MADANI dengan peruntukan RM250,000.
-- BERNAMA
