SHAH ALAM, 15 Nov (Bernama) -- Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB) melancarkan fasa baharu pembangunan Pulau Indah di Pelabuhan Klang dengan penyerahan tapak institusi kerajaan di Central Spectrum Sales Galleri, Pulau Indah hari ini.
Pelancaran dilakukan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah CSSB serta dihadiri wakil agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, serta rakan strategik.
Ahmad Fadzli berkata penyerahan tapak berkenaan menzahirkan komitmen CSSB dalam memperkukuh kemudahan awam di Pulau Indah.
Beliau berkata pembangunan berkenaan bakal menempatkan kemudahan penting seperti pejabat pihak berkuasa tempatan, balai polis, balai bomba, klinik kesihatan kerajaan dan perpustakaan awam sekali gus membentuk infrastruktur sosial yang lebih tersusun demi kesejahteraan komuniti setempat.
“Penyerahan ini mencerminkan kesungguhan CSSB dalam membangunkan Pulau Indah secara mampan, terancang dan berorientasikan komuniti. CSSB amat menghargai kerjasama erat kerajaan Selangor serta semua agensi pelaksana dalam merealisasikan agenda pembangunan ini,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan CSSB hari ini.
Pada majlis sama, CSSB secara rasmi turut memperkenalkan Prebiu Eksklusif Projek Perumahan Aluna Residences.
Ketua Pegawai Operasi CSSB Amran Abdul Wahab berkata pembangunan kediaman moden yang menawarkan 166 unit kediaman di Laguna Park itu akan menampilkan reka bentuk susun atur yang praktikal, seni bina kontemporari, di samping persekitaran kediaman yang tenang serta harmoni.
“Pelancaran Aluna Residences mengukuhkan komitmen kami dalam menyediakan pilihan perumahan berkualiti sambil menyokong pertumbuhan jangka panjang Pulau Indah.
“Prebiu eksklusif ini memberikan gambaran jelas mengenai wawasan CSSB untuk mewujudkan sebuah kawasan kediaman yang harmoni dan berkualiti,” katanya menerusi kenyataan sama.
Dalam pada itu, beliau berkata CSSB turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Selangor, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) serta semua agensi terlibat atas sokongan dalam menjayakan pembangunan Pulau Indah secara berterusan.
-- BERNAMA
