LABUAN, 16 Nov (Bernama) -- Pertandingan Akhir MarineHack 2025 bertemakan Navigating Tomorrow: Smart Solutions for a Sustainable Maritime Industry menutup tirainya hari ini di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), menandakan kemuncak hackathon peringkat kebangsaan yang menghimpunkan 130 pelajar dari seluruh negara.
Sebanyak 36 finalis bersaing dalam lapan pasukan mewakili Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik (APU) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Dianjurkan bersama oleh PINC Technology Sdn Bhd dan UMSKAL, program itu bertujuan menginspirasikan inovator muda untuk membangunkan penyelesaian berasaskan teknologi terhadap cabaran sebenar industri maritim menggunakan kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT) dan Analitis Data Raya, dengan penekanan kepada ESG dan kelestarian.
Pengarah Urusan PINC Technology Josef Wong dalam ucapan pembukaannya menggariskan visi MarineHack untuk melahirkan inovator maritim generasi akan datang dan memperkukuh kerjasama antara akademia, industri dan sektor teknologi.
Beliau menekankan potensi transformatif AI dan pendigitalan dalam memajukan sektor maritim Malaysia, sambil menegaskan inovasi sedemikian menyokong agenda pembangunan mampan negara.
Acara itu turut mengiktiraf pencapaian terkini PINC Technology termasuk pengiktirafan daripada PIKOM, SME Platinum Business Awards, Golden Eagle Awards terbitan Nanyang Siang Pau (Top 10 Excellent Eagles 2025) serta penghormatan antarabangsa pertamanya, ASOCIO AI Service Provider Award di Taiwan.
Menutup acara, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan UMSKAL Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal memuji peserta atas kreativiti, ketabahan dan komitmen mereka terhadap inovasi lestari.
Beliau berkata MarineHack 2025 menjadi bukti kepada ekosistem inovasi Malaysia yang semakin berkembang apabila teknologi, pendidikan dan kelestarian bergabung membentuk masa depan maritim negara.
-- BERNAMA
