AM

PENGGUNAAN AI SECARA BERETIKA PENTING UNTUK BENTUK REMAJA PEREMPUAN BERDAYA TAHAN - WAN AZIZAH

16/11/2025 06:41 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Teknologi perlu digunakan penuh tanggungjawab dan beretika khususnya dalam membentuk sahsiah dan daya tahan remaja perempuan, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah yang juga Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) berkata kemajuan teknologi termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang perlu dimanfaatkan untuk tujuan kebaikan supaya ahli Pandu Puteri dapat membentuk identiti yang kukuh, pertumbuhan peribadi seimbang serta mendukung nilai moral.

“Kemajuan teknologi yang dicapai pada masa kini haruslah digunakan untuk tujuan yang murni. Kita tidak mahu ketinggalan. Walaupun AI mempunyai potensi besar, ia perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab.

“Pada masa sama, kita perlu bersama-sama bertanggungjawab untuk memastikan ahli Pandu Puteri mempunyai jati diri yang tinggi serta seimbang dari sudut pembangunan insan, mempunyai empati yang tinggi, luhur budi pekerti dan mengamalkan nilai ketimuran dan adab sopan yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun PPPM ke-109 di sini hari ini.

Wan Azizah turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya peka terhadap aktiviti dalam talian anak-anak, di samping menekankan peningkatan penggunaan teknologi yang tidak beretika akan membawa risiko besar.

“Sama-samalah kita pantau penggunaan media sosial anak-anak kita. Bukan untuk mengongkong kebebasan, tetapi bagi mengelak daripada berlakunya perkara-perkara negatif,” katanya.

Pada majlis berkenaan, beliau turut mengumumkan pelancaran Kumpulan Advokasi Remaja Wanita, yang disifatkan beliau sebagai inisiatif penting yang menyediakan ruang untuk wanita muda menyuarakan kebimbangan mereka dan memperjuangkan isu penting.

“Melalui kumpulan advokasi ini, kita mahu melahirkan pemimpin wanita muda yang berani, berilmu, dan mampu mencorak masa depan negara dengan penuh hikmah,” katanya.

Beliau turut melancarkan inisiatif “Girl Guide Cookies 2025” yang bermatlamat menggalakkan semangat keusahawanan dan berdikari dalam kalangan ahli muda.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Presiden PPPM Datuk Tengku Shireen Tengku Suleiman, Ketua Pesuruhjaya PPPM Datuk Yeoh Soo Keng, pemimpin daripada kesemua 18 cawangan negeri serta wakil daripada semua peringkat persatuan itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan