IPOH, 16 Okt (Bernama) -- Sebanyak 60 pelukis tempatan mengambil bahagian dalam pameran seni lukis “Lakar Agung @ Kuala Sepetang 2025” menerusi Projek Eksplorasi Karya Agung: Menyingkap Seni Visual Melalui Apresiasi Sastera.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata pameran berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan antara seni visual, sastera dan pelancongan sebagai satu ekosistem yang saling melengkapi.
"Pameran ini bukan sekadar menonjolkan karya yang indah, tetapi juga menjadi jambatan menghubungkan seni dengan pelancongan budaya serta memberi ruang lebih luas kepada seniman berkarya," katanya berucap sempena pameran berkenaan di Hotel Casuarina@Meru di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Tourism Perak Datuk Mohamad Kamil Shafie serta Pengurus Besar People Of Remarkable Talents (PORT) Nur Hanim Mohamed Khairuddin.
Beliau berkata Kuala Sepetang diangkat sebagai tema pameran itu kerana keunikan latarnya dengan sejarah tersendiri, panorama alam semula jadi menawan serta kehidupan masyarakat pesisir yang unik, menjadikannya sumber inspirasi utama bagi pelukis.
"Kuala Sepetang mempunyai cerita, denyut nadi dan identitinya sendiri. Para pelukis berjaya menzahirkan keunikan ini melalui warna dan bentuk, sekali gus mendokumentasikan warisan tempat itu dalam bahasa visual," katanya.
Beliau berkata MOTAC melalui Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) akan terus memperluas platform pameran, menyediakan ruang kepada seniman tempatan dan mengukuhkan penglibatan seni dalam sektor pelancongan.
"Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada LPSVN, Persatuan Pelukis Perak, PORT serta semua persatuan seni yang terlibat, selain mengiktiraf komitmen semua pelukis yang menjayakan pameran ini," katanya.
-- BERNAMA
