POLITIK

GRS PERLUKAN MANDAT BAHARU UNTUK TERUSKAN PEMBANGUNAN DI SABAH - HAJIJI

16/11/2025 07:19 PM

KOTA KINABALU, 16 Nov (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerlukan mandat baharu daripada rakyat untuk meneruskan perancangan pembangunan bagi menjadikan Sabah setanding dengan negeri lain, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata melalui dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0, kerajaan negeri telah meletakkan asas kukuh untuk memacu Sabah sebagai sebuah negeri yang unggul dan disegani.

“Sepanjang lima tahun lepas, kerajaan negeri pimpinan GRS telah mencapai banyak kejayaan melalui pelan pembangunan Hala Tuju SMJ.

“Kita mengutamakan pembangunan rakyat, kita berjuang meningkatkan taraf hidup golongan miskin serta pendidikan anak-anak Sabah,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera pilihan raya GRS Sulaman di Dewan Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik di Tuaran hari ini.

Hajiji berkata keutamaan itu termasuk inisiatif memberikan RM300 sebulan kepada kira-kira 100,000 ketua isi rumah miskin tegar dalam senarai e-Kasih, bermula tahun ini yang tidak pernah dilakukan kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata selain itu, kerajaan negeri menyediakan 40 unit Rumah Mesra SMJ secara percuma di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada golongan memerlukan berbanding dahulu yang menyaksikan setiap kawasan diperuntukkan empat buah rumah sahaja di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Hajiji berkata dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kali ini, beliau berharap rakyat tidak silap memilih kerajaan negeri baharu kerana GRS telah membuktikan kemampuannya melalui agenda dan perjuangan yang jelas. 

“Kami bukan kerajaan yang hanya tahu bercakap, menipu dan menjanjikan bulan dan bintang,” katanya yang berdepan pertandingan lima penjuru dalam usaha mempertahankan DUN Sulaman pada PRN ini.

Hajiji berkata PRN kali ini juga unik kerana tidak pernah berlaku sebelum ini jumlah calon yang bertanding sebanyak 596 orang bagi merebut 73 kerusi DUN, namun ini adalah sebahagian proses demokrasi dan yakin rakyat akan mengundi dengan bijak.

Sementara itu, beliau menyatakan jentera pilihan raya GRS di DUN Sulaman berada dalam keadaan baik dan sudah bersedia menghadapi pilihan raya berkenaan.

“Seperti yang saya katakan tadi, saya mahu mereka turun padang untuk bertemu dan menerangkan sumbangan, pencapaian dan perancangan GRS kepada semua pengundi. Arahan yang sama turut diberikan kepada jentera parti di kawasan-kawasan lain,” katanya.

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan