LABUAN, 16 Nov (Bernama) -- Festival Kesenian Borneo (BAF) 2025 melabuhkan tirai malam ini dengan kehadiran pengunjung hampir 40,000 orang, satu rekod baharu yang mengatasi sasaran awal 30,000 orang sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai acara kebudayaan utama Labuan.
Festival lima hari dari 13-17 Nov yang diadakan di Kompleks Sukan Air Antarabangsa Labuan itu menarik pengunjung dari seluruh Malaysia, Brunei dan Kalimantan, Indonesia, menjadi daya tarikan pulau itu sebagai hab keseniaan dan kebudayaan serantau yang semakin berkembang.
Majlis penutup festival itu telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata sambutan luar biasa itu mencerminkan kejayaan BAF sebagai acara pelancongan dan kebudayaan utama dengan elemen unik yang diintergrasikan daripada Festival Flora Borneo sebelum ini.
“Kehadiran memberangsangkan ini menunjukkan bahawa Festival Kesenian Borneo yang diperkaya dengan budaya dan tarikan etnik baharu, terus meningkatkan identiti Labuan sebagai destinasi penuh warna-warni,” katanya.
Dr Zaliha berkata impak daripada festival itu bukan sahaja tertumpu pada kebudayaan tetapi turut memberi sumbangan besar kepada ekonomi tempatan hasil daripada peningkatan perbelanjaan dalam penginapan, pengangkutan, makanan dan produk tempatan.
BAF 2025 yang menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan kebudayaan, pameran, petunjukan etnik tradisional dan kreatif yang menarik penyertaan artis serta penggiat seni tempatan dan antarabangsa, dijangka terus merancakkan momentum pelancongan Labuan menjelang 2026.
Dr Zaliha menegaskan kerajaan Persekutuan kekal komited dalam menyokong pembangunan ekonomi dan budaya di Labuan melalui pelaburan yang disasarkan serta perancangan jangka panjang.
“Labuan terus menerima perhatian sewajarnya daripada kerajaan, khususnya dalam memastikan pulau ini membangun seiring dengan dua lagi Wilayah Persekutuan,” katanya.
Beliau turut menyatakan mengenai pembangunan Fasa Satu Waterfront Labuan bernilai RM38 juta sebagai antara inisiatif utama yang bertujuan meningkatkan landskap pelancongan pulau itu dengan menambah baik tempat awam dan memperkukuh aktiviti ekonomi.
“Projek ini bukan sahaja menjadi tarikan baharu di kawasan watefront tetapi juga memastikan kemudahan penting seperti bekalan elektrik dan air terus diberi tumpuan untuk penambahbaikan,” katanya
--BERNAMA
