KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) berdepan cabaran dalam memastikan keberkesanan intervensi menangani malnutrisi kanak-kanak termasuk isu bantut dan obesiti apabila ramai ibu bapa tidak membawa anak ke klinik bagi pemeriksaan berkala.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata kejayaan intervensi bergantung kepada kadar saringan yang dilakukan dan pengagihan bantuan bakul makanan.
"Apa yang menjadi masalah adalah kami menerima saringan yang kurang. Maka, ini menyukarkan kita memberikan nasihat kepada ibu bapa dan juga bantuan bakul makanan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai pelaksanaan intervensi KKM dalam isu berkenaan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, beliau berkata KKM belum mempunyai program khusus bantuan makanan sihat untuk kanak-kanak berusia tiga tahun dan ke bawah, namun bersedia mempertimbangkan pelaksanaannya berdasarkan keperluan dan ketersediaan sumber.
Lukanisman berkata pada masa ini, KKM melaksanakan beberapa inisiatif merangkumi bantuan makanan sihat termasuk Program Community Feeding bagi kanak-kanak Orang Asli dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta Program Bantuan Susu untuk kanak-kanak berusia enam bulan hingga enam tahun daripada keluarga miskin dan berisiko mengalami kekurangan zat makanan.
"KKM akan terus menambah baik program sedia ada termasuk mempertingkatkan kolaborasi antara kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan serta memperkasakan program-program literasi pemakanan dalam kalangan komuniti bagi mempertingkatkan kesedaran terhadap pemakanan sihat,” katanya.
Beliau menjawab soalan asal Dr Alias mengenai perancangan kerajaan untuk memperluas bantuan makanan sihat kepada kanak-kanak berusia tiga tahun dan ke bawah memandangkan kos pelaksanaan program pemakanan sihat bagi kelompok ini adalah jauh lebih rendah berbanding kos rawatan jangka panjang akibat komplikasi malnutrisi dan bantut.
-- BERNAMA
