AM

SAINGAN 14 PENJURU DI TULID CERMINAN KERAPUHAN LANSKAP POLITIK SABAH - PENGANALISIS

17/11/2025 02:28 PM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

KOTA KINABALU, 17 Nov (Bernama) -- Pertembungan 14 penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dilihat bukan sekadar persaingan paling sengit, malah mencerminan landskap politik di Sabah yang semakin rapuh.

Felo Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Bilcher Bala berkata persaingan di Tulid dan di  21 kawasan DUN lagi yang menyaksikan pertembungan 10 hingga 13 penjuru turut menunjukkan pengundi ingin mencuba calon baharu atau pihak lain.

“Jadi apabila mahu mencuba orang baharu, masing-masing membuat parti sendiri atau bertanding secara bersendirian,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata sentimen bahawa Tulid dan banyak DUN lain masih ketinggalan dari segi pembangunan mendorong pengundi menuntut pemimpin yang lebih bersuara kuat, sekali gus mencabar dominasi tradisi parti besar.

Bagaimanapun, Bilcher kurang bersetuju bahawa bilangan calon bertanding yang ramai sebagai tanda demokrasi sihat, sebaliknya menyifatkannya sebagai keadaan politik terlalu bebas tanpa arah jelas.

“Ini bukan demokrasi yang baik… ini kebebasan yang tidak terpimpin, tidak terarah. Bagi saya ini demokrasi yang tidak terkawal,” katanya.

Beliau menjelaskan penyerpihan undi di Tulid dan 21 DUN lain akan lebih ketara, dengan pemenang berkemungkinan meraih pluraliti, bukan majoriti, susulan pecahan undi yang besar.

“Tiada satu pihak, parti atau calon mampu menguasai sokongan besar… kemenangan nanti hanya tipis,” katanya.

Fenomena ini turut diakui oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Sabah Tony Paridi Bagang, yang menyifatkan landskap politik di Sabah kini cair dan memberi peluang realistik kepada ramai calon baharu.

“Landskap politik yang terpecah-belah akan secara tidak dapat dielakkan menyebabkan undi pengundi terbahagi kepada pelbagai arah atau calon. Ini bermakna walaupun seorang calon mempunyai sokongan yang terhad, dia masih boleh menang berdasarkan pluraliti (mendapat undi terbanyak berbanding calon lain) dan bukannya majoriti (mendapat lebih daripada separuh undi). Persepsi bahawa calon mempunyai peluang menang yang realistik ini mendorong lebih ramai individu dan parti kecil untuk bertanding.” katanya.

Menurut Tony, DUN Tulid dan 21 DUN lain memperlihatkan dinamika unik apabila ramai calon muda dan calon bebas masuk gelanggang, mengganggu kelebihan tradisi penyandang yang biasanya bergantung kepada jaringan akar umbi dan struktur keluarga serta suku kaum.

“Ramai pemimpin di Sabah percaya mereka mempunyai jaringan akar umbi sendiri dan pengaruh tempatan yang kuat, tetapi situasi di Tulid menunjukkan dinamik yang berbeza. Kemasukan calon baharu dan lebih muda mengganggu kelebihan biasanya dimiliki oleh penyandang kerusi dan meningkatkan tahap persaingan,” ujarnya.

Tony menambah setiap kawasan pedalaman mempunyai identiti politik tersendiri, justeru corak persaingan di Tulid tidak boleh dijadikan petunjuk mutlak untuk seluruh Sabah.

“Setiap kawasan pedalaman mempunyai kedinamikan dan kecairan politik tersendiri. Mungkin ada beberapa kawasan mempunyai persamaan. Namun, ia belum cukup kuat untuk dijadikan petunjuk mutlak kerana ada faktor lain perlu diambil kira, seperti persaingan intra-etnik,” katanya.

DUN Tulid akan menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH) Datin Rufinah Pengeran akan berdepan calon Parti Kebangsaan Sabah (PKS) Vinson Rusikan, Lucia Khing (Parti Warisan), Datuk Everitus Gungkit (Parti Solidariti Tanah Airku atau STAR) dan Mohd Khairil Abdullah (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu atau UPKO).

Selain itu, Ancis@Rayner Francis Udog di bawah tiket Parti Impian Sabah atau PIS), Jufina Dimis (Parti Rumpun Sabah) dan Dr Aisat Ellik Igau Inggau (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat atau KDM).

Enam calon Bebas iaitu Suman @ Sunsunah Yasambun, Clarence Carter Maraat, Edwin Laimin, Jordan Jude Ellron, Engah Sintan @ Dahlan Abdullah dan Lautis @ Laulis Anggang, yang kali pertama dipertandingkan pada 2020.

Kerusi DUN Tulid yang kali pertama dipertandingkan pada PRN ke-16 mempunyai 16,551 pengundi dan penyandangnya adalah Flovia Ng daripada STAR yang memenangi kerusi itu dengan majoriti 544 undi.

Hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 yang membabitkan 73 kerusi DUN ditetapkan pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov ini.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan