POLITIK

DAP PERLU MENANG BANYAK KERUSI UNTUK MUDAHKAN RUNDINGAN BENTUK KERAJAAN

17/11/2025 04:27 PM

SANDAKAN, 17 Nov (Bernama) -- Kesemua calon DAP perlu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, bagi membolehkan parti itu berada dalam kedudukan kukuh untuk menyertai rundingan pembentukan kerajaan negeri, kata Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe.

Beliau berkata realiti politik masa kini menunjukkan Sabah bakal melihat pembentukan kerajaan campuran, memandangkan tiada parti yang mampu membentuk kerajaan secara bersendirian.

Phoong berkata tidak mustahil Kerajaan MADANI turut dibentuk di Sabah seperti pada peringkat Persekutuan, yang menyaksikan gabungan pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Sehubungan itu, beliau mengulangi pendirian bahawa DAP bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang berkongsi dasar serta agenda perjuangan.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan DAP Tanjong Papat, di sini hari ini.

Phoong yang juga calon DAP di Likas berkata DAP akan terus memperjuangkan agenda sosial dan pembangunan ekonomi sebagai teras utama pembentukan kerajaan baharu.

Beliau berkata kemenangan lapan kerusi itu akan memberi kekuatan kepada DAP yang merupakan parti komponen Pakatan Harapan (PH), untuk berunding dan seterusnya menyusun hala tuju dasar negeri, khususnya dari aspek ekonomi, pelaburan, peluang pekerjaan dan pembangunan industri.

Sementara itu, Phoong juga yakin dua calon wanita DAP di Sandakan iaitu Tang Szu Ching di Tanjong Papat dan Vivian Wong di Elopura, mampu menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang akan bersama-sama memperjuangkan peluang ekonomi dan pekerjaan untuk rakyat Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan 25 Nov bagi pengundian awal. 

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan