KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Nilai kerugian akibat kebakaran di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga September tahun ini mencecah lebih RM1.57 bilion, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming.
Beliau berkata situasi itu menuntut usaha pencegahan yang lebih gigih daripada semua pihak bagi mengekang insiden kebakaran daripada terus berlaku.
“Jumlah kerugian yang tinggi itu direkodkan walaupun anggota bomba bertungkus-lumus menjalankan pelbagai usaha termasuk pencegahan kebakaran.
“Oleh itu, kami memerlukan usaha yang lebih gigih lagi bagi membendung kebakaran daripada terus berlaku,” katanya ketika berucap pada Majlis Sentuhan Kejayaan Menteri KPKT di Pusat Operasi K9 Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad.
Bagi memperkukuh keupayaan aset kebombaan, Nga berkata JBPM kini sedang menggantikan 30 unit jentera Fire Rescue Tender (FRT) berusia lebih 20 tahun dengan 30 unit baharu.
Beliau berkata penggantian itu dilaksanakan melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh CLW Automobile Malaysia dengan nilai keseluruhan RM45 juta dan dua unit FRT telah diterima setakat ini.
“Inisiatif berimpak tinggi ini dilihat mampu meminimumkan kerosakan jentera, mengurangkan kos pembaikan aset lama serta menjamin ketersediaan jentera bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, Nga berkata KPKT yakin JBPM berada pada tahap kesiapsiagaan optimum untuk menghadapi kemungkinan banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Beliau berkata persiapan itu merangkumi latihan simulasi, kesiapsiagaan anggota serta aset, penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dan pengukuhan pusat kawalan operasi.
“KPKT turut menekankan kepentingan koordinasi strategik antara semua agensi termasuk jabatan-jabatan di bawah kementerian ini dalam menghadapi cabaran sebelum, semasa dan selepas bencana.
“Seperti 2024, KPKT komited untuk terus menggerakkan Skuad Ihsan Madani bagi melaksanakan misi kemanusiaan semasa banjir serta kerja-kerja pembersihan pascabanjir kelak,” katanya.
-- BERNAMA
