AM

GUNAKAN TALIAN KECEMASAN DENGAN PENUH TANGGUNGJAWAB - NGA

17/11/2025 11:47 AM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Orang ramai diingatkan supaya menggunakan talian kecemasan dengan penuh bertanggungjawab susulan pelaksanaan sistem panggilan kecemasan baharu, Next Generation Emergency Services 999 (NG999), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming. 

Dalam kenyataan hari ini, beliau memaklumkan bahawa sistem baharu itu akan meningkatkan perkongsian sumber dan data antara pusat panggilan kecemasan dan agensi pusat berkaitan termasuk mengesan lokasi kejadian panggilan, sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan penyelamatan dan kecemasan.

“NG999 juga menggunakan teknologi canggih termasuk analisis data dan kecerdasan buatan (AI) untuk menyampaikan bantuan kecemasan dengan lebih berkesan,” katanya 

Sistem berkenaan, yang mula beroperasi semalam, menggantikan sistem Malaysia Emergency Response Services 999 (MERS999). 

Nga berkata setakat September tahun ini, sebanyak 169,015 panggilan palsu (crank call) atau 2.28 peratus daripada jumlah keseluruhan panggilan MERS999 telah direkodkan.

“Panggilan palsu bukan sekadar satu bentuk penyalahgunaan sistem, malah memberi implikasi serius terhadap masa tindak balas dan mewujudkan lompang perlindungan apabila pasukan penyelamat tidak dapat digerakkan ke lokasi sebenar yang memerlukan bantuan segera,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang awam agar tidak menyalahgunakan sistem berkenaan kerana ia boleh menjejaskan keberkesanan keseluruhan sistem kecemasan negara.

Nga menegaskan tindakan membuat panggilan palsu ke talian 999 merupakan kesalahan jenayah yang boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian, dan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya.

Pelaku juga boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan (Seksyen 182) iaitu memberi maklumat palsu kepada penjawat awam dan dipenjara sehingga enam bulan atau denda hingga RM2,000, atau kedua-duanya.

“Oleh itu, saya memohon kerjasama semua pihak supaya tidak berlaku lagi tindakan tidak bertanggungjawab seperti ini demi keselamatan orang awam, dan tindakan undang-undang tegas akan diambil,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan