DUNIA

CHINA HASRAT PERKUKUH KERJASAMA MARITIM DENGAN ASEAN - DUTA

17/11/2025 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- China berhasrat mengeratkan serta melaksanakan kerjasama yang lebih praktikal dengan negara anggota ASEAN bagi memperkukuh kestabilan serantau di Laut China Selatan, kata Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Beliau berkata Beijing giat memperluas kerjasama dengan negara ASEAN dalam beberapa bidang termasuk perlindungan alam sekitar, perikanan, penyelidikan saintifik marin, pembangunan kapasiti maritim dan kesalinghubungan serantau yang semuanya dianggap penting untuk mengekalkan keamanan dan kemakmuran jangka panjang.

Dalam ucapan khasnya pada Persidangan Laut China Selatan (SCS) 2025 anjuran Institut Maritim Malaysia (MIMA) di sini pada Isnin, Ouyang berkata China turut mencadangkan kerjasama penguatkuasaan pantai yang dipertingkatkan serta pembangunan maritim bersama, yang dapat meningkatkan tahap kerjasama maritim di rantau ini.

“China dan Indonesia telah mencapai kesepakatan penting untuk melaksanakan pembangunan bersama di kawasan laut yang dituntut kedua-dua negara. 

"China dan Vietnam juga secara aktif bekerjasama dalam bidang bukan sensitif di laut, termasuk memperkukuh usaha mencari dan menyelamat maritim,” katanya. 

Ouyang berkata lawatan pertama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan asetnya ke China pada Jun lalu telah membuahkan hasil yang baik.

“Mesyuarat kedua dialog “dual-track” mengenai pengurusan isu maritim di Laut China Selatan antara China dan Malaysia adalah penting. Ia akan meneroka kerjasama praktikal serta memperluas konsensus mengenai kerjasama maritim,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa pendekatan komunikasi dua hala dan mekanisme dialog dua hala sedia ada, termasuk rundingan berterusan mengenai Kod Tata Laku Laut China Selatan (COC) — dapat mengelakkan salah faham serta mengekalkan keamanan dan kestabilan.

Ouyang turut menggesa pelaksanaan sepenuhnya COC dan berkesan, selain terus mempromosikan rundingannya demi mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.

Beliau berkata banyak kemajuan penting dicapai dalam mempercepatkan rundingan COC dan menggalakkan kerjasama maritim praktikal. 

China setakat ini telah mengadakan 24 mesyuarat peringkat pegawai kanan dan 49 mesyuarat kumpulan kerja bersama dengan negara ASEAN bagi melaksanakan COC.

Laut China Selatan merupakan antara laluan maritim paling sibuk dan kritikal di dunia, dengan anggaran perdagangan bernilai US$3.37 trilion melalui perairan itu setiap tahun melibatkan 500,000 kapal dagang serta lebih sejuta penerbangan komersial.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan