PUTRAJAYA, 17 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual kembali menyertai kempen Pakatan Harapan (PH) bagi Pillihan Raya Negeri ke-17 negeri itu, sebaik sahaja pulang daripada lawatan tiga negara di Afrika.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Perdana Menteri yang merupakan Pengerusi PH, secara peribadi menyatakan komitmennya untuk mengetuai kempen PH bagi menempuh PRN Sabah.
“Buat masa sekarang, perancangannya adalah untuk beliau turun ke Sabah bagi meneruskan kempen berbaki beberapa hari lagi, sebelum pilihan raya berlangsung.
“Pejabat Perdana Menteri dan juga pasukan PH akan kongsikan jadual beliau di Sabah sebaik saja mendapat persetujuan semua,” katanya pada sesi taklimat bersama media di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.
Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi ke Ethiopia pada 18 hingga 20 Nov, diikuti lawatan kerja ke Afrika Selatan untuk menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin G20 sebagai pengerusi ASEAN pada 20 hingga 23 Nov.
Beliau kemudiannya akan mengadakan lawatan rasmi ke Kenya pada 23 hingga 24 Nov sebelum dijangka tiba di tanah air pada 25 Nov.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan 25 Nov bagi pengundian awal. PH bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya itu.
-- BERNAMA
