AM

PUNB PERKENAL PROSPER IMPACT E-PEROLEHAN, TAWAR PEMBIAYAAN MODAL KONTRAK KERAJAAN

17/11/2025 07:35 PM

BUTTERWORTH, 17 Nov (Bernama) -- Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memperkenalkan PROSPER Impact e-Perolehan, sebuah skim pembiayaan khusus bagi membantu usahawan melaksanakan projek kerajaan yang diperoleh melalui sistem e-Perolehan.

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Izwan Zainuddin berkata skim dilancarkan pada 1 Okt lepas itu merupakan skim patuh syariah yang menawarkan pembiayaan modal pusingan antara RM100,000 hingga RM5 juta. 

Beliau berkata pengenalan skim terbaharu itu secara tidak langsung membantu usahawan bumiputera merebut peluang kontrak kerajaan tanpa perlu risau kekangan modal kerja. 

“Skim ini diperkenalkan berdasarkan hasil maklum balas diterima daripada usahawan melalui sesi pertemuan yang sering kita adakan bagi mendapatkan input mengenai keperluan mereka bukan sahaja di Semenanjung tetapi juga Sabah dan Sarawak.

“Hingga kini, kita meluluskan pembiayaan hampir RM10 juta dan kita masih ada kira-kira 20 syarikat yang sedang melalui proses penilaian, menunjukkan sambutan diterima amat menggalakkan. Diharapkan lebih ramai usahawan dapat mengambil peluang untuk memohon skim ini,” katanya ketika ditemui pada program Sesi Jaringan Usahawan PUNB Wilayah Utara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Izwan berkata melalui skim itu usahawan berpeluang memperoleh pembiayaan pada kadar keuntungan hingga 6.5 peratus dan tempoh pembiayaan hingga lima tahun atau bergantung kepada tempoh kontrak diterima.  Jumlah pembiayaan pula hingga 90 peratus daripada nilai kontrak manakala kelulusan boleh diperoleh dalam tempoh 21 hari bekerja berdasarkan dokumen lengkap diterima.

“Untuk tahun depan, kita sasarkan RM100 juta kelulusan di bawah PROSPER Impact e-Perolehan melibatkan antara 60 hingga 90 usahawan,” katanya.

Beliau juga memberitahu sejak penubuhannya, PUNB telah membangunkan 1,623 usahawan di Wilayah Utara melibatkan jumlah pembiayaan mencecah RM765 juta dan 344 rakan usahawan dikenal pasti masih aktif hingga kini.

Bagi tahun ini, beliau memaklumkan setakat Oktober entiti berkenaan telah meluluskan pembiayaan perniagaan berjumlah RM25.5 juta kepada 54 syarikat di Wilayah Utara dengan RM9.4 juta daripadanya disalurkan kepada 17 syarikat di Pulau Pinang, melebihi sasaran ditetapkan iaitu RM22.14 juta.

Beliau berkata antara sektor tertinggi yang diceburi ialah makanan dan minuman, kenderaan bermotor, pakaian dan tekstil selain aksesori, peruncitan serta perkakasan dan perkhidmatan kejuruteraan.

Terdahulu, program sehari itu menghimpunkan lebih 200 rakan usahawan dan usahawan bumiputera dari seluruh Wilayah Utara merangkumi Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan utara Perak dengan pengisian meliputi sesi taklimat mengenai skim pembiayaan PROSPER Impact e-Perolehan.

PUNB turut mengambil langkah strategik untuk memperkukuh daya tahan rakan usahawan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang disempurnakan oleh Izwan mewakili PUNB manakala AKPK diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Azaddin Ngah Tasir. 

Izwan menyifatkan MoU itu sebagai langkah proaktif untuk memastikan rakan usahawan PUNB bukan sahaja dapat mengembangkan perniagaan tetapi juga kekal mampan dan berdaya tahan dalam sebarang keadaan ekonomi.

Beliau berkata MoU itu membolehkan PUNB diiktiraf sebagai Institusi Kewangan Peserta (PFI) sekali gus memberi akses percuma kepada rakan usahawan terhadap pelbagai perkhidmatan AKPK termasuk pendidikan kewangan, khidmat nasihat kewangan dan program pengurusan kredit perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Azaddin berkata setakat ini, lebih 6,200 PMKS telah dibantu melalui program pengurusan kredit berkenaan, melibatkan pembiayaan hampir RM6 bilion seterusnya memberi ruang kepada usahawan memulihkan operasi dan menstabilkan kewangan mereka. 

“Inisiatif ini juga mampu memperkukuh tadbir urus, meningkatkan daya tahan, dan membina kemampanan perniagaan sejajar dengan peranan AKPK sebagai pemangkin kesejahteraan kewangan negara,” katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pembiayaan perniagaan dan inisiatif PUNB, layari www.punb.com.my dan ikuti saluran media sosial rasmi kami @punbofficial untuk maklumat terkini.

-- BERNAMA  

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan